Feb 18, 2009

Derma Organ Apabila Meninggal

Salam

Ada rakan bertanya apakah pandangan fiqh terhadap perbuatan mengizinkan organ diambil untuk tujuan derma apabila meninggal kelak? Apakah adab-adab terhadap mayat yang berkaitan larangan dan keharusan melakukannya.

********************
kamin
Panel Feqh
wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan ini dengan kadar kemampuan yang ada, In Sya Allah.

Persoalan menderma organ samada semasa penderma itu masih hidup ataupun mati telah banyak diperbincangan oleh ulama' Islam di peringkat antarabangsa, khususnya dikalangan Islamic Fiqh Council OIC atau Majlis Majma' al-Fiqh al-Islami. Didalam persidangan yang ke 4 yang berlangsung di Jeddah pada 6-11hb Februari 1988, Majlis telah membuat beberapa keputusan setelah meneliti penyelidikan perubatan berkenaan dengan isu seseorang mendapat faedah dari sebahagian organ orang lain, samada hidup atau mati.

Pada kenyataan bernombor 26, salah satunya menyebut :

يجوز نقل عضو من ميت إلى حي تتوقف حياته على ذلك العضو ، أو تتوقف سلامة وظيفة أساسية فيه على ذلك ، بشرط أن يأذن الميت قبل موته أو ورثته بعد موته ، أو بشرط موافقة ولي أمر المسلمين إن كان المتوفى مجهول الهوية أو لا ورثة له
"Adalah dibenarkan melakukan pemindahan organ dari orang mati (mayat) kepada orang hidup dimana hayatnya atau fungsi asasnya bergantung kepada organ tersebut, dengan syarat mendapat kebenaran dari si-mati sebelum beliau meninggal, atau dari warisnya setelah dia meninggal, atau pihak berkuasa yang mengendalikan orang Islam jika identiti mayat tidak diketahui atau dia tidak mempunyai waris".

Didalam persidangan tersebut, Mufti Mesir ketika itu, Dr Sayyed al-Tantawi juga menyatakan bahawa hendaklah Doktor yang melakukan itu merupakan Doktor Islam yang dipercayai kepakarannya.

Setelah melakukan pemindahan organ, mayat tersebut hendaklah di sempurnakan sebagaimana menyempurnakan orang yang masih hidup setelah sesuatu pembedahan berlaku; seperti menjahit kembali bahagian-bahagian yang telah dibedah. Sabda Nabi saw didalam hadith yang diriwayatkan oleh A'isyah ra. :-

كسر عظم الميت ككسره حيا
"Mematahkan tulang orang mati adalah seperti mematahkannya semasa dia masih hidup" [Hadith riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibn Maajah]

Kemudian hendaklah disegerakan proses-proses penyediaan jenazah seperti mandi, kapan, solat jenazah dan mengkebumikan mayat tersebut. WA.

Sekian, wassalam

0 comments:

Post a Comment