Dec 30, 2008

Kegagalan Diri

Assalamualaikum.
Pertanyaan saya, Selalu ada pihak menyatakan apabila kita tidak menjalani kehidupan yang mewah, tidak berilmu, kata orang tak masuk universiti,tidak menjadi pemimpin masyarakat ,maka mereka ini dalah orang yang gagal dalam hidup ini. Kalau kita lihat dari sudut kehidupan moden maka itu adalah faktor kepada kejayaan hidup seseorang.
Bagaimana pula dengan mereka yang tiada semuanya faktor diatas. Apakah mereka ini orang yagn gagal dalam kehidupan. Adakah tiada ruang bagi mereka ini menjalankan amar makruf nahi mungkar kepada orang lain?
Apakah maksud kegagalan dalam hidup yang sebenarnya?

-----------
Assalamu'alaikum

Alhamdulillah. Syukur kita kepada Allah diatas nikmat Islam yang dikurniakan oleh Allah swt kepada kita. Moga-moga Allah sentiasa membimbing kita kearah jalan yang benar, dan jalan yang diredhainya. Amin. Soalan ini merupakan soalan yang menyentuh aspek umum penghidupan, malah kalau dilihat secara halus lagi, ia merujuk kepada kegagalan manusia didalam bersaing diatas perkara-perkara keduniaan dan materialisme. Insyaallah, kami yang tidak banyak ilmu didalam persoalan ini, akan cuba menyentuh sini dan sana sedikit, sekurang-kurangnya dapat memperjelaskan lagi erti kejayaan didalam hidup sebagai hamba Allah yang beriman dengannya.

Nilai kejayaan diri bukan terletak kepada kemewahan hidup, masuk universiti, menjadi pemimpin masyarakat dan sebagainya. Akan tetapi, ilmu pula dari segi perspektif Islam, sangatlah penting. Allah swt menaikkan martabat orang yang berilmu dari kalangan hambanya. Bila bercakap mengenai ilmu, bukanlah orang yang berilmu itu terhadap kepada golongan yang masuk universiti, TIDAK! Barangsiapa yang menuntut ilmu, dimana saja yang boleh mereka pelajari, baik secara kelas formal dan tidak formal, kesemuanya dikira proses meningkatkan ilmu.

Orang yang berjaya didalam hidup didunia dari kacamata Islam ialah orang yang bertaqwa. Firman Allah swt :-

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu" -[al-Hujarat 49:13]

Allah tidak memandang kepada pangkat, harta, kemuliaan dsb, akan tetapi TAQWA merupakan kriteria utama yang Allah swt lihat. Orang yang paling bertaqwa merupakan orang-orang yang sangat berjaya didalam hidup. Mereka berjaya menjadi makhluk yang mulia dari kacamata Allah swt. Allah swt mahukan setiap ornag-orang yang beriman agar mereka dapat mati didalam keadaan bertaqwa. Firman Allah swt :

مُسْلِمُونَ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam." - [Aali-Imran 3:102].

Meletakkan kemewahan hidup, pangkat dan harta sebagai ukuran, merupakan ukuran orang yang tidak ada agama didalam hidupnya. Akan tetapi, setelah mencapai peringkat taqwa, tidak kira orang kaya atau orang miskin, sama sahaja disini Allah, melainkkan mereka yang benar-benar bertaqwa.

Ramai yang merasakan gagal didalam hidup ini setelah tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti! Ini belum gagal lagi. Selagi manusia tidak memutuskan hubungan dengan Allah swt, dia belum gagal didalam hidup. Lihat, berapa ramai pelajar di Universiti, orang pangkat besar dsb yang tidak Solat, tidak mengeluarkan zakat, tidak berpuasa, tidak menunaikan Haji dsb...Mereka-mereka itulah orang-orang yang gagal. Gagal melaksanakan perintahan dan suruhan Allah swt. Mereka hanya kaya dari segi 'dunia' semata-mata, akan tetapi MEREKA GAGAL DISISI ALLAH.

Islam itu global dan sesuai dengan semua zaman. Baik zaman dulu, atau zaman moden, ataupun hari dimana Kiamat akan berlaku, Islam tetapi relevant! Tidak mungkin Islam akan melihat manusia dengan kacamata keduniaan, melainkan manusia itu sendiri yang menilainya. Allah swt tetap akan melihat ketaqwaan. Tuntutan ini valid sampai bila-bila. Tidak kira ianya moden atau klasik, tuntutannya tetap sama!

Didalam keadaan manusia yang pelbagai didalam menunut reski, Allah swt tidak melarangnya, kecuali mereka terlibat didalam reski-reski yang haram. Walau dalam keadaan apa sekalipun, taqwa itu memainkan peranan yang amat penting! Lihatlah Firman Allah swt didalam surah Al-Lail :-

فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى. وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى. فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى. إِنَّ سَعْيَكُمْ لَشَتَّى. وَمَا خَلَقَ الذَّكَرَ وَالْأُنْثَى. وَالنَّهَارِ إِذَا تَجَلَّى. وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَى

"[1] Demi malam apabila ia menyelubungi segala-galanya (dengan gelap-gelitanya),
[2] Dan siang apabila ia lahir terang-benderang;
[3] Demi Yang menciptakan (makhluk-makhlukNya) lelaki dan perempuan, (jantan dan betina);
[4] Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya.
[5] Jelasnya: Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya);
[6] Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik,
[7] Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga)." -[Al-Lail 92:1-7]

---------
Mereka yang gagal didalam hidup ini ialah mereka-mereka yang tidak berusaha menuju kearah ketaqwaan. Tidak kira apa profesion mereka itu, samada mereka kecewa didalam hidup keduniaan, atau mereka bahagia dengan hidup keduniaan, kalau mereka tidak ingin menuju kearah ketaqwaan, merekalah merupakan manusia yang rugi, lantas jadilah mereka orang-orang yang gagal disisi Allah swt. Bagi orang-orang yang kecewa didalam hidup keduniaan ini, kegagalan mencari taqwa merupakan satu tamparan yang hebat didalam hidup mereka. Sudahlah dikaca mata manusia mereka dilihat sebagai orang yang gagal, disisi Allah pun gagal juga. Kita minta perlindungan dari Allah swt dan dijahui dari bersikap sedemikian.

Gagal melakukan solat, gagal mengeluarkan zakat, gagal melakukan puasa, gagal menunai haji bagi yang mampu, gagal memperjuangkan Islam; ini semualah kegagalan didalam penghidupan. Bagi mereka yang tidak mempunyai harta dunia dan pangkat, itu belum lagi gagal!! Para pendakwah, tak ramai dikalangan mereka yang hidup mewah dengan harta kekayaan, mereka tetap survive (hidup), mereka tetap mulia disisi Allah swt.

Tidak masuk ke universiti bukanlah alasan untuk tidak mempelajari ilmu Allah. Ilmu Al-Quran, Hadith, Fiqh, Tauhid, bahasa arab dsb, bukanlah hanya boleh dipelajari di Universiti. Islam memang memerangi kejahilan. Untuk melaksanakan Islam didalam penghidupan kita, memerlukan ilmu. Hinggakan nak solat sebagaimana Rasulullah saw bersolat pun memerlukan ilmu, bukan boleh buat ikut-ikut orang sahaja. Malah shiekh-shiekh besar Islam pun ramai yang tidak masuk Universiti, malahan ilmu-ilmu mereka disanjung dan buku-buku mereka dijadikan rujukan!

Apabila hendak melakukan amar ma'ruf nahi mungkar, mesti kena ada ilmu. Kalau tidak ada ilmu, bagaimana nak membezakan amalan mana yang dikatakan ma'ruf, dan amalan mana yang dikatakan mungkar! Bagaimana pula cara untuk mencegah kemungkaran. Ia memerlukan kaedah-kaedah tertentu. Untuk ini semua, diperlukan ilmu. Proses menuntut dan mengajar ilmun ini merupakan satu jihad didalam umat Islam. Proses menutut ilmu ini hanya akan terhenti apabila nyawa sudah terpisah dari jasad. Jangan lah cepat berputus asa didalam menuntut ilmu-ilmu Allah ini. Ilmu yang akan membantu manusia membentuk amal soleh dan ketaqwaan. Maka jadilah insan yang berilmu dan bertaqwa. Dan orang-orang yang bertaqwa ini merupakan orang-orang yang beruntung; mereka inilah orang-orang yang berjaya didunia dan di akhirat. Orang-orang yang tidak menuju kearah ketaqwaa, mereka itulah manusia-manusia yang telah ditipu oleh penghidupan dunia yang tidak kekal; mereka itulah manusia yang GAGAL didalam penghidupan mereka. wallahu'alam.

wassalam.

0 comments:

Post a Comment