Dec 19, 2008

Kitab Bahrul Mazi

A'salam wr kth

Bolehkah tuan menerangkan serba-sedikit latarbelakang dan konsep kitab Bahrul Mazzi dan siapa pengarangnya.

Terima kasih


وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************

Alhamdulillah, berdasarkan butiran-butiran berikut adalah merupakan jawapan-jawapan bagi setiap soalan yang diajukan menurut pengetahuan kami yang sedikit , yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala :

Kitab بحر الماذي “ Bahrul Madzi “ adalah merupakan salah-satu kitab hadis yang terulung di dalam bahasa Melayu kita. Ianya merupakan ringkasan kepada kitab hadis yang terkenal SUNAN TURMUDZI ataupun nama lengkapnya “ AL-JAMI’ AL-MUKHTASAR MIN SUNAN ‘AN RASULILLAH SAW “ yang diusahakan oleh Al-Imam Al-Kabir Al-Muhaddis Muhammad ‘Isa At-Turmudzi (rh).

Kitab Sunan At-Turmudzi ini merupakan salah-satu kitab hadis yang terbaik di sisi ‘ulama hadis sehingga majoriti mereka meletakkan ia di darjat keempat daripada jumlah ribuan karya ulama’ hadis semenjak dahulu lagi.

Manakala Kitab “ Bahrul Madzi “ pula telah disusun oleh ‘Allamah Syeikhuna Muhammad Idris Al-Marbawi Al-Azhari ( Tokoh Ma’al Hijrah Pertama Malaysia ) sebagai ringkasan dan terjemahan ke bahasa Melayu bagi kitab asalnya : Sunan At-Turmudzi.

Kitab Bahrul Madzi ini dikarang oleh beliau setelah beliau mempelajari Sunan At-Turmudzi di Masjid Saidina Hussein (ra) , yang berhampiran dengan Masjid Besar Al-Azhar, Kaherah. Guru yang mengajar beliau ialah salah-seorang pakar hadis di Mesir ketika itu ( sekitar tahun 1920’an ) yang bernama Almarhum Syeikh ‘Allamah Muhammad Ibrahim As-Samaluthy , salah-seorang ‘alim besar Al-Azhar ketika itu.

Sunan At-Turmudzi dipelajari oleh Syeikh Al-Marbawi drp Syeikh As-Samaluthy itu setelah tamat mempelajari Sahih Imam Muslim (rh) drp beliau (rh). Khabarnya setelah tujuh kali khatam mempelajari dan menekuni Sunan At-Turmudzi, barulah Syeikh Al-Marbawi menghasilkan karya teragungnya : Bahrul Madzi, dengan berpandukan juga kepada Kitab Al-Umm karangan Imamuna Al-Jalil Asy-syafi’e , Imam An-Nawawi menerusi huraiannya bagi Sahih Imam Muslim rh, serta karangan-karangan Imam Al-Qostoloni dan Imam Ibnul ‘Arabi serta selain mereka semua (rh).

Selain itu juga, Syeikh Al-Marbawi yang merupakan anak Kampung Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan ini juga telah menulis Kitab Bahrul Madzi ini dengan beberapa cara yang tidak terdapat di dalam Sunan At-Turmudzi dan ditambah pula dengan huraian-huraian yang tidak ada tolok-bandingnya, biorgrafi periwayat hadis serta perbandingan di antara beberapa buah hadis dan masalah-masalah Fiqh yang sudah cukup “ mengenyangkan “ mereka yang mentelaah dan mempelajari isi-isi kitab ini. Pendek kata, walaupun kitab itu dikarang sudah menjangkau usia 80 tahun, ianya cukup berfaedah dan sebenarnya biorgarafi mengenainya , mahupun pengarangnya ibarat kata pepatah Arab : “ غني عن التعريف “ ertinya : Sudah cukup terkenal dan popular !!.

Kami menyarankan saudara dan kita semua mengikuti pengajian kitab ini, contohnya yang dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Shamsuri Hj. Ahmad di sebelah utara Semenanjung Malaysia ataupun bolehlah didapatkan kaset-kaset pengajiannya.

Jangan ketinggalan mendapatkan kitab ini dan mengikuti pengajiannya kerana ianya dihasilkan oleh seorang yang sudah tersohor keilmuaannya hasil “ menghamba diri “ dan menjadi murid kanan kepada Almarhum Al-‘Arif Billah Syeikh Tok Kenali (rh) dan beliau juga merupakan salah-seorang daripada angkatan anak-anak Melayu yang menjejakkan kaki ke Universiti Al-Azhar , Mesir setelah sekian lama beliau membesar dan menuntut di Tanah Suci Mekkah Al-Mukarramah.

Semoga Kitab Bahrul Madzi ini menjadi sebab-musabab Allah Ta’ala mengurniakan rahmat-Nya kepada Almarhum Syeikh Al-Marbawi dan kita semua.

Amin Ya Rabbal ‘Alamin !!!

***********************

Begitulah jawapan-jawapan berdasarkan soalan-soalan yang tersurat, walhal Allah Ta’ala Lebih & Maha Mengetahui setiap apa yang tersirat.

SARANAN RUJUKAN & PEMBACAAN :

1- KITAB BAHRUL MADZI – Jilid 1 ( Muqaddimah ).
2- KAMUS ILMU HADIS – Drs. Totok Jumanoro.
3- KASET-KASET PENGAJIAN AL-FADHIL USTAZ SHAMSURI HJ. AHMAD

Wallahu A’alam Bissowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

6 / Jamadil Akhir / 1423 H
15 / Ogos / 2002 M

1 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum WBT..

Saya ingin mengajukan soalan berkaitan rujukan buku kepada kitab bahrul mazi. Baru-baru ini saya ada sedikit perbincangan dan kemyuskilan berkaitan bab solat dan lebih khusus lagi berkaitan dengan pengamalan bacaan doa qunut. Terdapat satu aliran atau pembawaan di kawasan saya yang mengamalkan bacaan doa qunut pada semua jenis solat sama ada solat fardhu dan solat sunat rawatib. Ianya dilaksanakan seperti pada solat subuh iaitu pada ketika rakaat terakhir dan bacaannya adalah sama seperti doa qunut solat subuh. Pada ketika kami bersoal jawab, mereka menyatakan bahawa mereka bersandar kepada bacaan qunut nazilah tetapi bacaan adalah seperti qunut subuh. Tetapi sandaran kuat mereka adalah mengambil qias bahawa Nabi SAW meraikan perkara sunat jadi tidak salah melakukan bacaan qunut (amalan sunat) kerana ianya perkara baik dan nabi meraikan perkara yang baik.

Selain daripada itu, mereka bersandar kepada rujukan di kita Bahrul Mazi karangan Mohammad Idris Abdul Rauf Al-Marbawi Al-Azhari pada Jilid II Bahagian III muka surat 109 dalam masalah yang ke-200 yang membincangkan apakah hukumnya. Pada permasalah dan rujukan ini saya sedikit menghadapi masalah kerana saya tidak memiliki buku tersebut untuk merujuk kandungan seperti yang dinyatakan. Mohon bantuan untuk perkara tersebut.

Selain daripada itu, mereka merujuk kepada
[PETIKAN DARIPADA BUKU TULISAN MEREKA]

"kata Imam Nawawi R.A: "Bermula mazhab Syafie RA bahawasanya qunut itu disunatkan dia pada sembahnyang subuh selama-lamanya dan adapun lain daripada subuh maka bagi Imam Syafie RA ada 3 kaul bermula sahih lagi masyur bahawasanya apabila turun bala' seperti seteru atau kemarau, huru-hara, dahaga dan mudharat-mudharatan yang zahir pada muslim dan seumpamanya yang demikian itu nescaya qunut mereka itu pada sekelian sembahyang fardhu bahkan kaul yang ke-2 membolehkan qunut sama ada turun bala' atau tidak."

Mohon pencerahan berkaitan petikan ini dan mohon pencerahan tentang permasalahan ini.

Wallahu a'lam.

Dahari Bin Haji Lisani
Semporna Sabah.
e-mail : adilie78@gmail.com

Post a Comment