Dec 19, 2008

Definasi Uruf

Assalamualaikum

Saya musyhkil tentang 'Uruf' - seperti (saya kurang pasti-tetapi lebih kurang begini)

Imam Ghazali pergi untuk berjumpa imam(tak pasti) imam tersebut tidak melakukan qunut diwaktu subuh. Didapati imam tersebut berpergian. Pelajar2nya menyuruh dia jadi imam. Lalu diterimanya, dalam solat itu beliau tidak melakukan qunut. Bila ditanya kenapa berdemikian. Jawab beliau kerana menghormati guru kamu ..(lebih kurang yg saya ingat)

Apakah uruf boleh dijadikan hukum ? Harap tak keberatan memberi sedikit contoh2.

Sekian.

وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************

Alhamdulillah, berdasarkan butiran-butiran berikut adalah merupakan jawapan-jawapan bagi setiap soalan yang diajukan menurut pengetahuan kami yang sedikit , yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala :

( 01) – PENGERTIAN ‘URUF :

‘Uruf menurut pengertian ulama’ fiqh ialah :

(( عادة جمهور قوم في قول أو عمل ))

Ertinya : ‘Uruf itu ialah amalan ataupun percakapan sesuatu kaum yang menjadi kebiasaan – adat – mereka .

# Maksudnya : Tidaklah wujud sesuatu ‘uruf itu melainkan ianya benar-benar berlaku di antara manusia di tempat tertentu, ataupun ianya biasa berlaku di mana sebahagian besar penduduk sebuah negeri itu mengerjakan ‘uruf ini dan mematuhinya.

Contohnya : ‘Uruf yang berlaku di Negara Syiria, iaitu mahar (mas kahwin) yang disebut di dalam akad nikah untuk si perempuan, 2/3 drp jumlah keseluruhan mahar itu mestilah diserahkan kepadanya dengan segera, manakala bakinya pula (1/3 drp jumlah keseluruhan mahar itu) ditangguhkan sampai setelah meninggal dunia ataupun bercerai.

Contoh lain : Diwujudkan satu surat perjanjian (kontrak) di antara kedua-dua pihak yang hendak mengadakan sesuatu perjanjian, seperti surat perjanjian pernikahan dan perniagaan.

(02)- DALIL-DALIL SYARAK MENGENAINYA & KEKUATANNYA DI DALAM HUJAH SYARIAT :

# Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

(( “ Barangsiapa yang mengadakan satu contoh amalan yang baik di dalam Islam, maka baginya pahala dan pahala orang yang melakukan – mengikuti contoh baiknya itu – sampailah ke hari kiamat , dan barangsiapa yang mereka-cipta satu contoh amalan yang jahat, maka dosa amalan itu tertimpa ke atasnya dan (begitulah juga tertimpa ke atasnya ) dosa-dosa orang-orang yang mencontohinya , tanpa dikurangi sedikitpun sehinggalah ke hari kiamat “ )).

# Kata-Kata (Atsar) Sahabat (r.a) yang bernama Saidina Abdullah Bin Mas’ud (r.a) :

(( “ Apa yang dipandang baik oleh kaum muslimin, maka ia juga adalah baik di sisi Allah. Dan apa yang dipandang jelek oleh kaum muslimin, maka ia juga adalah jelek di sisi Allah “ )).

# “Uruf merupakan salah-satu drp sumber-sumber tasyrik ( perundangan ) Islam, seperti juga Ijma’ , Qiyas, Istihsan, Istishab, Masoleh Mursalah, Pendapat Para Sahabat (r.a), Amalan Ahli Madinah (r.a) dan lain-lain di dalam melakukan Ijtihad ( Kajian Hukum oleh seorang yang benar-benar berkemampuan ) , selain drp bersumberkan 2 sumber yag paling tinggi iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

# ‘Uruf tidak digunakan untuk menetapkan hukum-hakam yang telah jelas hukumnya di dalam syarak melalui Al-Quran dan As-Sunnah, dan tidak juga boleh digunakan untuk menghalalkan apa yang haram ataupun mengharamkan apa yang dihalalkan oleh syarak secara jelas dan terang.

(03)- BEBERAPA KAEDAH FIQH YANG BERSUMBERKAN ‘URUF :

- “ Adat itu dijadikan hukum “.
- “ Hujah yang dipakai oleh orang ramai, wajib dilakukan “.
- “ ‘Uruf itu dikenali sebagaimana disyaratkannya “.
- “ Ketentuan melalui ‘uruf adalah sama dengan ketentuan oleh nas “.
- “ Perubahan hukum tidak dapat diengkari oleh perubahan masa “.

(04)- BEBERAPA CONTOH ‘URUF YANG FASID ( TERTOLAK OLEH SYARIAT ) :

Sebagaimana telah dijelaskan, ‘Uruf tidaklah digunakan secara berleluasa tanpa hadnya dan tidak juga boleh digunakan untuk menghalalkan menghalalkan apa yang haram ataupun mengharamkan apa yang dihalalkan oleh syarak secara jelas dan terang.

Begitulah juga, tidak boleh sesuatu ‘uruf (adat kebiasaan ) yang telah jelas ianya bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah , dijadikan hujah untuk dipraktikkannya, seperti ‘uruf (kebiasaan ) wanita-wanita bertabarruj (bersolek) dan keluar rumah dengan keadaan itu . Ataupun seperti dinyanyikan lagu-lagu dan ditiup trompet pada upacara kematian. Ataupun juga ‘uruf masyarakat Barat yang membiarkan anak-anak mereka yang telah baligh untuk bergaul secara bebas di antara lelaki dan perempuan.

(05) – Mengenai Kisah Imam Al-Ghazali (rh) seperti mana yang disebut di atas, dan juga kisah Imam Asy-Syafi’e (rh) yang kedua-dua mereka itu tidak melakukan Qunut Subuh kerana menghormati para makmum yang tidak beramal dengannya.

Menurut pandangan saya, itu tidak termasuk di dalam kategori ‘Uruf, kerana persoalan qunut Subuh dan solat ini adalah persoalan ibadat yang “ mahdhah “ ( ibadat berbentuk khusus lagi terhad ). Apa yang diamalkan oleh kedua-dua Imam yang mulia itu adalah hasil drp kefahaman mereka terhadap Fiqh Al-Ikhtilaf ( Kefahaman Mengenai Perbezaan Pendapat yang dibenarkan di dalam Islam ) . Disebabkan pemahaman mereka yang jitu itulah, mereka berdua menghormati masyarakat setempat yang tidak melakukan Qunut Subuh lalu kedua-dua imam itu pun tidak melakukannya. Dan sememangnya, kita dituntut untuk menghormati sesuatu pendapat / mazhab di dalam Islam ini, selagi ianya tidak bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, walaupun mazhab ataupun pendapat itu bukannya pegangan kita.

Wallahu A’alam Bissowab.

***********************

Begitulah jawapan-jawapan berdasarkan soalan-soalan yang tersurat, walhal Allah Ta’ala Lebih & Maha Mengetahui setiap apa yang tersirat.

SARANAN RUJUKAN & PEMBACAAN :

1- FIQH & SUMBER-SUMBERNYA , ( ms 105 ):
- Oleh ‘Allamah Syeikh Abdullah Nasih Ulwan
Terbitan : Pustaka Salam , K.L ( Harga RM 6.20 )

2- AL-QAWA’ID AL-FIQHIYAH
Nilam Puri, Kelantan Darul Naim.

3- LAIN-LAIN

Wallahu A’alam Bissowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

2 comments:

Anonymous said...

terima kasih

muthmainnah said...

Assalamu'alaikum wr. wb
pada zaman sekarang ini banyak kita temukan wanita meniru penampilan laki-laki dan sebaliknyaa. apakah ini termasuk 'Uruf ? mohon penjelasannya. terima kasih.
wassalam...

Post a Comment