Jan 22, 2009

Buat Baik Berpada-pada

Assalamualaikum...ustaz

Saya nak tanya adakah wujud konsep buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali dalam Islam. Hal ini sedemikian kerana saya melihat kalau kita buat baik sangat kepada seseorang, orang itu akan pijak kepala kita dan ambil kesempatan atas kebaikan kita. Macam mana pula kalau buat baik sangat akan menyusahkan kita atau perjalanan hidup kita akan terganggu? Saya harap ustaz sudi menjawab soalan saya dalam konteks kehidupan masa kini...Inshaallah

wassalam... :)

****************
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sdri badiah dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Secara umumnya konsep "buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali" merujuk kepada amalan tolong menolong diantara satu sama lain dengan cara berhati-hati dan jangan sekali-kali melakukan perbuatan jahat. Sebelum kita membincangkan pepatah ini, elok juga kita melihat konsep 'baik' dan 'jahat' didalam Islam. Didalam Islam amalan buat baik ini kita namakan sebagai melakukan amalan soleh; iaitu amalan yang mendapat ganjaran pahala dari Allah swt. Manakala perbuatan jahat boleh dikategorikan sebagai amalan yang bertentangan dengan amalan soleh; mendapat dosa jika dilakukan. Firman Allah swt :-

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan. " - [surah al-Nahl : 97]

وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ.
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." - [Surah Al-Asr 1-3]

Amalan jahat juga boleh disifatkan amalan yang sia-sia dan rugi dilakukan, bahkan akan diazab oleh Allah swt. Manakala amalan yang baik, iaitu amalan soleh, merupakan amalan yang beruntung dilakukan. Pepatah ini juga boleh disesuai dengan "Perintah melakukan perkara baik, dan mencegah kemungkaran" (الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر). Dengan kata lain, seorang yang beriman itu bukan sahaja tidak melakukan perkara jahat/mungkar, malahan menjadi tanggung-jawabnya mencegah kemungkaran.

Berkata Dr Abd Al-Baari al-Zamzami, angggota Lajnah Ulama Magribi, terdapat 3 asas penting didalam melakukan "Perintah melakukan perkara baik, dan mencegah kemungkaran" :-

1. Mempunyai ilmu mengenai apa yang dikata Ma'ruf dan apa pula yang dikatakan mungkar
2. Istiqamah - taat kepada Allah didalam melakukan amalan baik, dan menjauhi perkara2 mungkar.
3. Ikhlas dan benar didalam menjalankan tugas "Perintah melakukan perkara baik, dan mencegah kemungkaran"

Apa yang ingin dinyatakan disini ialah amalan soleh/amalan ma'ruf ini tersangatlah banyak. Bermula dengan beribadat kepada Allah swt sehinggalah perhubungan diantara mahkluk Allah swt.

Sebagaimana yang sdri badiah mengatakan bahawa : 'kalau kita buat baik sangat kepada seseorang, orang itu akan pijak kepala kita dan ambil kesempatan atas kebaikan kita.', apa yang penting didalam melakukan sesuatu kebajikan itu biarlah dilakukan dengan ikhlas dan sepenuh hati, kerana kita tahu bahawa Allah swt akan memberi ganjarannya dihari kemudian. Membantu seseorang itu juga hendaklah dilakukan setakat mana yang mampu sahaja. Islam tidak menuntut agar kita membebankan diri sendiri. Sesuailah dengan perkataan 'berpada-pada', dengan maksud berpadan.

'Buat baik berpada-pada' boleh membawa erti melakukan amalan baik dengan batasannya. Kita tidak boleh berbuat baik dengan pihak yang memusuhi Islam. Ini suatu pengkianatan. Begitu juga dari segi melakukan amalan ibadat, kita mesti berpada-pada dalam erti berhati-hati melakukannya agar tidak terlibat dengan amalan bid'ah. Misalnya, solat itu satu amalan yang baik, akan tetapi melakukan solat sunat Nisfu Sya'ban merupakan suatu amalan bid'ah yang mungkar, walaupun ia kelihatan baik dari kacamata mereka yang cintakan ibadat. Akan tetapi bila dinilai dari neraca syariah, tidak terdapa sebarang dalil mengenai amalan solat nisfu sya'ban. Cuma Allah swt sahaja yang berhak mencipta sesuatu ibadat! Firman Allah swt :

قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya."

Demikianlah serba-sedikit komentar mengenai pepatah Melayu diatas apabila disesuaikan dengan pandangan Islam. WA

wassalam
=================
Rujukan :

1. Dr Abd Al-Baari al-Zamzami. ضوابط الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر url : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=104422

0 comments:

Post a Comment