Dec 16, 2008

Usrah

AnakAyub »

salam

Adakah usrah dijalankan ketika zaman Rasulullah s.a.w.? Jika ya, bagaimana?




****************************************
pendekar »

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara Dr. AnakAyub yang menaruh kepercayaan kepada kami untuk menjawab soalan tersebut .

Soalan yang diutarakan ini adalah 100% soalan di dalam bidang DAKWAH & HARAKAH dan perkara mengenainya sudah tentu dimaklumi dengan sebaik-baiknya oleh mereka yang terjun secara langsung ke dalam medan dakwah .

Sebelum kami menjawab soalan saudara , sukalah kami memberikan gambaran ringkas kepada sidang pembaca sekalian mengenai APAKAH USRAH itu . Ini memandangkan bukan kesemua sidang pengunjung al-Ahkam Online ini terdiri daripada mereka yang terlibat di dalam Gerakan Dakwah Islam .

U S R A H:

Usrah ~ menurut pengertian asal ( B. Arab ) ertinya : KELUARGA . Penggunaan Istilah ini ( Usrah ) pada umumnya menunjukkan adanya hubungan ataupun ikatan persaudaraan sesama manusia , sama ada dalam hubungan rumahtangga, darah keturunan, suku bangsa ataupun puak .

Pengertian USRAH menurut definasinya di dalam Ilmu Dakwah & Harakah pula ialah : " Usrah bererti satu satu unit keluarga yang diikat oleh kesatuan 'Aqidah ( kesatuan keimanan ) , kesatuan pemikiran ( Fikrah ) , kesatuan kesedaran tentang persamaan sejarah dan nasib dan kesatuan cita-cita perjuangan untuk berkerja-sama dan bantu-membantu memperkukuhkan Jama'ah Islam dari berbagai sudut bagi membolehkan kerja-kerja 'amal jamaie dan amal Islami dengan teratur sehingga tertegaknya Daulah dan Khilafah Islamiyyah " .

Secara gambaran kasar , Usrah itu dijalankan seperti berikut :

1 ~ Ia digerakkan oleh satu-satu persatuan / gerakan dakwah Islam yang berusaha ke arah menegakkan Negara Islam yang sesuai dengan tuntutan al-Quranul Karim dan as-Sunnah . Daripada sini dapatlah kita memahami bahawa jika ada mana-mana persatuan yang membuat program yang kelihatannya seperti " usrah " , akan tetapi persatuan itu sendiri bukanlah menjadikan usaha menegakkan Negara Islam sebagai tujuannya , apatah lagi al-Amr Bil Ma'aruf Wan Nahyu 'anil Munkar , maka itu BUKANLAH usrah .

2 ~ Usrah itu adalah seumpama mesyuarat dan juga majlis ilmu & zikir . Ia dipengerusikan oleh seorang NAQIB yang menjalankan tugas sebagai pengerusi , pemudah-cara ( moderator ) dan juga pembimbing kepada ahli-ahli sesuatu persatuan dakwah .

3 ~ Naqib akan membincangkan beberapa masalah yang dikutip daripada al-Quranul Karim, as-Sunnah , Kitab-kitab Sirah an-Nabawiyah dan Dakwah dan akhirnya dibincangkan masalah-masalah semasa , berkaitan dan berbangkit .

4 ~ Setiap ahli diminta untuk mengemukakan pandangan mereka masing-masing ke arah melicinkan lagi usaha penyebaran dakwah Islam . Dengan ini , dapatlah juga diketahui tahap pengetahuan setiap ahli dan apakah yang diperlukan oleh mereka dan juga apa yang diperlukan juga oleh jemaah / persatuan itu sendiri daripada ahli-ahli.

5 ~ Usrah ini adalah kekuatan asasi setiap gerakan dakwah dan juga merupakan batu-bata asasi ke arah tertegaknya sebuah masyarakat & negara yang dituntut oleh al-Quranul Karim dan as-Sunnah . Oleh itu tidak peliklah jika ada golongan-golongan " musuh Islam " yang amat sakit hati apabila usrah - usrah dijalankan dengan giat di setiap tempat dan peringkat .

ADAKAH USRAH INI DIJALANKAN DI ZAMAN BAGINDA RASULULLAH S.A.W ?:

Sudah tentulah ia pernah dijalankan sendiri oleh Baginda Rasulullah s.a.w sendiri . Lihatlah sendiri usaha awal yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah s.a.w di rumah Saidina al-Arqam Bin Abi al-Arqam r.a .

Walaupun apa yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah s.a.w itu sendiri tidaklah dinamakan sebagai " USRAH " , akan tetapi itulah dia " Roh Usrah " dan " Asas Usrah " yang menjadi sumber inspirasi persatuan-persatuan dakwah Islam untuk melakukan usrah sebagai mana yang kita lihat pada hari ini .

Kalau usrah ini dianggap sebagai bid'ah kerana nama itu tidak dipakai di zaman Baginda Rasulullah s.a.w , maka begitu juga dengan nama-nama persatuan seperti Ansor as-Sunnah , Ittiba' as-Sunnah , al-ihsan , ar-Risalah , al-Islah , an-Nida' , Muhammadiyah , Keluaraga as-Sunnah dan sebagainya , itu semua tidak pernah wujud di zaman Baginda Rasulullah s.a.w .

Dipersilakan saudara-saudari merujuk kepada RUANGAN RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN di bawah ini untuk melihat apakah buku-buku yang terbaik sebagai asas perlaksanaan usrah.



Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad


RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

1 ~ BEBERAPA PANDUAN ASAS USRAH DAN HARAKAH
Oleh : al-Fadhil Ustaz Ya'qub Muhammad Hussin ha
Terbitan : Dewan Pustaka Fajar , Shah Alam
Harga : RM 10.00 /=


2 – PANDUAN USRAH
Oleh : al-Fadhil Ustaz Idris Ahmad
Terbitan : Sarjana Media , Hentian Pudu Raya , KL
Harga : RM 3.00 /=

0 comments:

Post a Comment