Dec 30, 2008

Pekida Satu Penilaian

Salam

Berikut ini adalah salah - satu soalan yang dihantar melalui e-mel saya .
Saya memohon maaf disebabkan agak lewat menyiarkannya dan membalasnya .
Mudah - mudahan Soalan ini dan jawapannya nanti ada manfaat untuk kita semua .

Date: 11/16/2003 05:58:04 -0800
From: ariff rafiq
----------------------------------------------------------

akum ustaz...

Saya ada sedikit soalan untuk ditujukan kepada ustaz mengenai Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA). Soalannya seperti :-

1. Adakah pertubuhan ini selari dengan perjuangan islam yang sebenar ?

2. Mereka mengaku bahawa mereka adalah Tentera Fisabillilah. Apa pandangan ustaz?

3. Adakah perjuangan mereka selari atau pertentangan dengan aqidah Islam?

4. Di dalam pergerakan ada tanda-tanda isyarat dikalangan ahli mereka atau lebih dikenali sebagai "buah". Mereka mendakwa buah-buah mereka ini berasal dari Rasullullah. Apa pandangan ustaz?


_________________

وعليكم السلام و رحمة الله وبركاته
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي
***********************

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara Ariff Rafiq di atas soalan yang dikemukakan .

Ada beberapa tanggapan dan pandangan masyarakat mengenai PEKIDA ini , di antaranya :

1 ~ PEKIDA ialah : Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia [/color] . Ia berlainan pula dengan [color=red] PAKIDA , iaitu : Pertubuhan Anak-Anak Kedah Darul Aman .

2 ~ Ada pula yang menyatakan bahawa PEKIDA dan PAKIDA adalah satu pertubuhan yang sama sebenarnya .

3 ~ Ada pula mengatakan bahawa PEKIDA ini adalah satu pertubuhan untuk seluruh bangsa Melayu di Malaysia , dan ianya boleh dianggotai oleh sesiapa sahaja berbangsa Melayu tanpa mengira latar – belakang pendidikannya , pemikirannya , politiknya , mazhabnya dan sebagainya .

Itulah beberapa tanggapan masyarakat yang dapat kami kumpulkan , samada melalui Alam Siber ataupun melalui perbualan dengan beberapa rakan yang terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan .

Sekarang kami akan menjawab soalan – soalan saudara di atas :

Quote:
1. Adakah pertubuhan ini selari dengan perjuangan islam yang sebenar ?

J A W A P A N K A M I :

Disebabkan kami sendiri TIDAK MEMPUNYAI sebarang maklumat yang SAHIH LAGI MEYAKINKAN kami mengenai PEKIDA ( dan begitu juga dengan PAKIDA ) maka kami TIDAK MAMPU untuk menyatakan hukum Islam terhadap perjuangan PEKIDA ini .

Namun , jika benarlah ( andainya betul ) PEKIDA ini adalah pertubuhan anak – anak Melayu yang ditubuhkan untuk menyatukan semua suara dan perasaan serta usaha anak – anak Melayu tanpa mengira sebarang agama ataupun anutannya ( mazhab , tareqat , ideologi dan aliran ) , maka disinilah yang perlu ditinjau .

Semua orang Melayu , bahkan semua manusia boleh DISATUKAN dengan cita-cita dan tujuan mereka yang sama . Contohnya semua bangsa dan keturunan mahu agar KEADILAN dan KESAKSAMAAN dikecapi oleh mereka semua . Oleh itu TIADA SEBARANG HALANGAN ISLAM untuk memperjuangankan kehendak asasi ini .

Selagi cita – cita dan tujuan itu BERSESUAIAN dengan Islam , maka tiadalah apa-apa halangan . Contohnya : Orang – orang Melayu berusaha menubuhkan satu dewan perniagaan orang – orang Melayu dan masyarakat Tionghua ( Cina ) pula menubuhkan dewan perniagaan mereka . Ini TIDAKLAH BERTENTANGAN DENGAN AJARAN ISLAM .

Contoh lain : Masyarakat Melayu mahu ada sebuah sekolah yang mendaulatkan bahasa mereka , dan begitulah juga dengan kehendak masyarakat Cina dan India . Maka kehendak seperti ini TIDAKLAH BERTENTANGAN dengan ajaran Islam .

Namun , jika sesebuah organisasi / pertubuhan itu didirikan di atas dasar : FANATISME ETNIK / PERKAUMAN / CHAUVINISME , sehingga diasuh pula untuk memusuhi bangsa / keturunan selain mereka ( Contohnya : Parti Nazi pimpinan Adolf Hitler di Jerman ) , maka INILAH YANG BERTENTANGAN DENGAN ISLAM . :devil

Islam tidak pernah melarang didirikan sesebuah organisasi / pertubuhan yang bernamakan sesebuah BANGSA / KETURUNAN , tetapi yang dilarang ialah SIKAP TAKSUB KEPADA SESUATU BANGSA / KETURUNAN SEHINGGA BERUSAHA MEMUSUHI BANGSA SELAIN MEREKA .

Quote:
2. Mereka mengaku bahawa mereka adalah Tentera Fisabillilah. Apa pandangan ustaz?

J A W A P A N K A M I :

Sekadar “ mengaku “ dan “ mendakwa “ , maka semua orang boleh berbuat demikian . Jika benar mereka adalah tentera fi sabililLah ( tentera yang berjuang di Jalan Allah ) , maka SILALAH ditunjukkan buktinya !!! .

Al-Arqam dahulu pernah mendakwa sebagai “ TENTERA BADAR “ , kemudia sebagai “ TENTERA al-MAHDI “ , namun dakwaan itu hanyalah dakwaan dan semua masyarakat pun sudah tahu bahawa mereka itu hanyalah PEMBOHONG – PEMBOHONG YANG BERTOPENGKAN AGAMA ISLAM ! .

Untuk menjadi tentera Allah SWT , mestilah ada syarat – syarat dan persiapan – persiapannya . Apakah ahli – ahli PEKIDA ( mahupun PAKIDA ) sudah memenuhi syarat – syaratnya , khasnya sebagai mana yang dinyatakan oleh seorang ulama’ terkenal ; al-‘Allamah Syeikh Sa’id Hawa rh di dalam bukunya : JUNDULLAH : TSAQAFATAN WA AKHLAQAN ( Tentera Allah : Satu Tinjauan Dari Sudut Keilmuan & Akhlak Mereka ) !? .

Kalau benar mereka tentera fi sabililLah ( mudah – mudahan begitulah hendaknya ) , maka hendaklah mereka membuktikannya . Apakah mereka lupa bahawa : “ BUKTI ITU WAJIB DIBAWA OLEH SI PENDAKWA “ ?.

Pelajarilah firman Allah SWT di dalam Ayat 111 , Surah al-Baqarah :


قُلْ هَاتُواْ بُرْهَانَكُمْ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Ertinya : “ ……..katakanlah Wahai ( Nabi ) Muhammad ( s.a.w ) ! : Bawalah bukti / keterangan kamu andainya kamu orang – orang yang benar ! “.

Quote:
3. Adakah perjuangan mereka selari atau pertentangan dengan aqidah Islam?

J A W A P A N K A M I :

Selari ataupun tidak dengan ISLAM ini perlulah ditinjau dari sudut PERLEMBAGAAN ataupun UNDANG – UNDANG TUBUH PEKIDA itu sendiri . Kemudian dinilai pula MANHAJ ( metode ) yang dibawa oleh pertubuhan ini .

Namun yang menjadi masalahnya ialah tiada siapa ( hingga ke saat ini ) dari kalangan ahli – ahli PEKIDA yang sudi menunjukkan perlembagaan dan metode perjuangan mereka secara terbuka , sehingga lebih mudah untuk dinilai daripada perspektif Islam . Apatah lagi , PEKIDA ini sendiri diwar-warkan sebagai sebuah pertubuhan rahsia ! .

Oleh itu pihak al-AHKAM ONLINE sehingga ke saat ini ( Bersamaan Hari Jumaat : 4 / Syawal / 1424 H = 28 / Nov / 2003 ) TIDAK MAHU MENGELUARKAN SEBARANG KENYATAAN HUKUM KE ATAS PEKIDA , sama ada yang bersikap PRO ( menyokong ) ataupun KONTRA ( menentang ) . Ini agar kami tidak melakukan sesuatu kezaliman ataupun fitnah disebabkan ketiadaan maklumat yang sahih lagi meyakinkan mengenai PEKIDA itu sendiri .

Quote:
4. Di dalam pergerakan ada tanda-tanda isyarat dikalangan ahli mereka atau lebih dikenali sebagai "buah". Mereka mendakwa buah-buah mereka ini berasal dari Rasullullah. Apa pandangan ustaz?

J A W A P A N K A M I :

Jika BENAR dakwaaan mereka itu , maka kami akan menjawab sebagaimana jawapan kami di Point ke-2 di atas.

Selain itu , kami ingin mengingatkan umat Islam agar TIDAK “ MENJUAL “ NAMA BAGINDA NABI MUHAMMAD S.A.W . Amatlah buruk tindakan dan azab bagi mereka yang “ MENJUAL “ nama Baginda s.a.w . Sabda Baginda s.a.w :


من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

Ertinya : “ Sesiapa yang berdusta dengan namaku dengan sengaja , maka hendaklah dia menyediakan tempat duduknya daripada api neraka “ ~ [/color] HADIS SAHIH riwayat al-Imam al-Bukhari rh , al-Imam Muslim rh , al-Imam al-Hafiz al-‘Iraqi , Syeikh al-Albani rh dan lain – lain .

Kewajipan mengemukakan BUKTI bagi setiap dakwaan termasuklah menyertakan DALIL @ HADIS @ SUSUR – GALUR RIWAYAT ( SANAD / ISNAD ) . Kerana itulah para cendekiawan hadis menyatakan :


الإسناد من الدين لو لا إسناد لقال من قال ما قال

Ertinya : Isnad itu adalah sebahagian daripada agama kita , jika tiadalah isnad itu , tentulah orang yang hendak berkata – kata itu boleh berkata-kata sesuka hatinya .

Kami yakin , semua umat Islam ternanti – nanti bukti dan keterangan daripada mereka jika mereka benar – benar berada di jalan yang benar .

Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad


و صلّى الله على سيّدنا محمّد و على آاله و صحبه و سلّم والحمد لله رّب العالمين

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

1 ~ ISLAM DAN KEBANGSAAN
Oleh : Al-‘Allamah Almarhum Ustadz A. Hassan Bandung
PERSIS , Indonesia .


و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

0 comments:

Post a Comment