Dec 16, 2008

Menegur Pemimpin Tidak Secara Terbuka

aumchak »

Assalamualaikum.

Saya baharu berbual dengan seorang sahabat yang mengikut aliran salafi dari UK. Menurut beliau kaedah dan adab salafi menurut sunnah untuk menegur pemimpin ialah bukanlah secara terbuka di khalayak ramai, tetapi untuk menegur secara peribadi bagi mengelakkan dari memalukannya. Saya juga pernah terbaca artikel di website aliran salafi yang menegaskan perkara ini, dan menyatakan kesilapan jemaah islam yang mengkritik secara terbuka pihak pemerintah/kerajaan. Ini dikuatkan dengan pendirian oleh bekas mufti Arab Saudi bin Baz yang tidak bersetuju dengan cara kritikan lantang/ golongan pembangkang di kalangan ahli akademik/ulama di negara tersebut terhadap pemerintah. Tambah lagi sahabat saya ini mengatakan bahawa nasihat/teguran perlu diberikan bukan untuk berkepentingan lain (politik/meraih sokongan dsb) selain kerana Allah semata-mata.

Soalan saya,

1. Apa komen al-Ahkam mengenai perkara di atas?

2. Sekiranya benar metod salafi demikian, bagaimana pula gerakan sebuah parti yang memperjuangkan Islam di negara kita. Bukankah teguran-teguran/kritikan berkepentingan politik (menjatuhkan lawan). Pernah juga terjadi seorang pemimpin pihak pembangkang mendakwa seorang pemimpin kerajaan menonton video lucah. Adakah metod ini diterima Islam. (Sekadar contoh bukan untuk memburukkan yang sudah tiada)

Sekian mohon dijernihkan permasalahan ini. Wassalam



******************************************
pendekar »

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara aumchak yang mengajukan soalan di atas . Kami , khasnya Pendekar , memohon jutaan kemaafan daripada saudara dan para pengunjung al-Ahkam Online kerana agak lewat menjawab soalan ini yang telah dikirim pada 11. Jun . 2003 lalu .

Ini disebabkan kami sendiri terpaksa “ study “ semula permasalahan ini dengan teliti di samping mendahulukan soalan-soalan lain yang lebih mudah ataupun lebih perlu disegerakan jawapannya .

Soalan di atas kami berikan tajuknya sebagai : “ METODE PARTI-PARTI PEMBANGKANG ADALAH SALAH ? “ ataupun boleh juga diberikan tajuk sebagai : “ HUKUM MENJATUHKAN KERAJAAN YANG YANG ZALIM “ .

#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#

Kami mendoakan agar kawan saudara yang didakwa mengikuti aliran SALAFI di UK itu benar-benar bertemu dengan Jemaah Salafi yang sebenar , dan bukannya kumpulan yang sekadar mendakwa mereka itu “ Salafiyun “ akan tetapi lebih cenderung kepada Kumpulan “ HARFIYUN “ yang lebih cenderung memahami agama Islam berdasarkan nas-nas zahir semata-mata ( TEKSTUAL ) dan moga-moga dijauhkan Allah Ta’ala juga daripada cenderung kepada manhaj ( Metode ) “ NEO – KHAWARIJ “ ( Khawarij Moden ) .

Untuk mengetahui apakah MANHAJ SALAFI TULIN yang sesuai dengan Aliran Wasatiyyah ( Sederhana ) yang dibawa oleh Islam , sila baca penjelasan al-‘Allamah Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ha mengenainya di :

PEMIKIRAN SALAFI
http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Etc/Salafi.html

#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#

Sekarang , marilah kita lihat apakah Hukum Menukar Pemerintah Islam Yang Zalim Menurut Pandangan Islam , dan khasnya Golongan Pure - Salafi ( Salafus Solihin radhialLahu ‘anhum ) :

Umat Islam , TIDAKLAH SEPAKAT di dalam memutuskan apakah yang perlu dilakukan apabila seseorang pemimpin yang beragama Islam melakukan kezaliman , adakah perlu kita bersabar dan mendoakan pemimpin itu diberi hidayah ATAUPUN perlukah kita bangkit menentangnya disebabkan kezalimannya itu ? .

Secara ringkasnya , terdapat 2 kelompok umat Islam yang mewakili pandangan masing-masing apabila berhadapan dengan masalah di atas :

{ 1 } ~ GOLONGAN PERTAMA :

Golongan ini mengatakan TIDAKLAH SEPATUTNYA di dalam apa juga keadaan, kita keluar ( bangkit menentang ) pemerintah Islam yang zalim , sama ada menentang secara kekerasan ataupun melakukan revolusi ke atasnya .

Yang sepatutnya – menurut golongan ini – ialah TERUS BERSABAR DAN MENDOAKAN agar pemimpin Islam yang zalim itu diberikan hidayah oleh Allah Ta’ala , lalu bertaubat.

Syeikh Al-Bazdawi mengatakan pendapat ini disandarkan kepada al-Imam Nu’man Bin Tsabit rh ( Abu Hanifah – Pengasas Mazhab Hanafi ) ~ Lihat : USULUDDIN , halaman : 90 , oleh Syeikh Bazdawi rh .

Dikatakan juga bahawa pendapat golongan pertama ini adalah pendapat yang diterima-pakai oleh sebahagian para sahabat r.a yang utama , seperti : Saidina Sa’ad Bin Abi Waqqas r.a , Saidina Usamah Bin Zaid r.a , Saidina ‘Abdullah Bin ‘Umar r.a dan Saidina Muhammad Bin Musalmah r.a . Dan ini dilihat juga daripada sikap mereka yang menerima pemerintahan Bani Umaiyyah yang kejam dan zalim ~ Lihat : al-FISOL FIL MILAL WAN NIHAL , oleh : al-Imam Ibnu Hazm rh , Jilid : 4 , Halaman : 171 .

Dan dinyatakan pula , umat Islam HANYALAH perlu bertindak menasihati dan mendoakan pemimpin yang zalim itu TANPA perlu berbuat selain itu ( lawan secara kekerasan ataupun secara revolusi ) ~ Lihat : AL-AHKAM as-SULTONIYYAH oleh al-Imam al-Mawardi rh , halaman 15 , AL-AHKAM as-SULTONIYYAH oleh al-Imam Abu Ya’ala rh , halaman : 20 , AL-KHARAJ oleh al-Imam Abu Yusuf rh , halaman : 10 , al-IMAMAH al-UZMA oleh al-Fasi , halaman : 41 , al-FISOL FIL MILAL WAN NIHAL , Jilid 2 , Halaman : 171 dan MINHAJUS SUNNAH oleh al-Imam Ibnu Taimiyah rh , Jilid 2 , halaman : 87 .

Menurut satu pendapat yang lemah , dikatakan bahawa pandangan di atas adalah pandangan disepakati oleh seluruh aliran di dalam AHLUS SUNNAH WAL JAMA’AH .

DALIL – DALIL GOLONGAN PERTAMA :

1 ~ Ertinya : “ Wahai orang-orang yang beriman ! , taatilah kamu akan Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin dari kalangan kamu . Maka jika kamu berselisih-faham pada sesuatu , maka rujuklah kembali kepada Allah dan Rasul , jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat . Itulah lebih baik dan kesudahan yang terbaik . “ ~ Surah an-Nisa’ , ayat 59 .

2 ~ Ertinya : Daripada Saidina Junadah ra Bin Abi Umaiyah , dia berkata : Kami pernah menziarahi Saidina ‘Ubadah Bin as-Somit r.a yang sedang sakit , lalu kami berkata kepadanya : “ Semoga Allah memperbaiki keadaan kamu . Tolonglah beritahu kami satu hadis yang pernah kamu dengar daripada Baginda Nabi s.a.w , mudah-mudahan Allah memberikan manfaat kepadamu dengannya “ . Katanya : “ Baginda Nabi s.a.w pernah mengajak kami duduk bersama-samanya , lalu kami pun berbai’ah ( berjanji-setia ) kepada Baginda s.a.w . Apa yang Baginda s.a.w nyatakan di dalam bai’ah itu kepada kami ialah agar kami ini dengar dan taat , sama ada di dalam keadaan kami cergas ( sihat ) ataupun lemah , di dalam keadaan senang ataupun susah , dan walaupun pemimpin itu tidak menunai hak-hak ke atas kami . Dan kami juga diminta berbai’ah agar kami tidak mencabut ketaatan kami kepada mereka yang berkuasa MELAINKAN jika kami melihat kekufuran yang nyata di sisi kamu ( wahai para pemimpin yang zalim ) , yang ada petunjuk yang terang daripada Allah yang mengatakan perbuatan itu adalah kekufuran yang nyata “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7056 .

3 ~ Ertinya : Daripada Saidina Ibnu ‘Umar r.a , beliau mendengar Baginda Nabi s.a.w bersabda : “ Janganlah kamu kembali menjadi kafir selepas ketiadaan aku , iaitu kamu saling bunuh-membunuh sesama kamu “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7077 .

4 ~ Ertinya : Daripada Saidina Ibnu ‘Abbas r.a , daripada Baginda Nabi s.a.w bersabda : “ Sesiapa sahaja yang benci kepada ketuanya , maka hendaklah dia bersabar . Sesungguhnya , sesiapa sahaja yang keluar ( menentang ) ketuanya walaupun sejengkal , maka matinya nanti adalah mati secara jahiliyyah “~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7053 .

5 ~ Ertinya : Daripada Saidina ‘Abdullah Bin Saidina ‘Umar r.a . Sesungguhnya Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda : “ Sesiapa sahaja yang menghunuskan senjatanya ( kepada sesama umat Islam ) , maka dia bukanlah daripada golongan kita “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7070 .

6 ~ Ertinya : Diceritakan kepadaku oleh Saidina Busr Bin ‘UbaidilLah Al-Hadrami, sesungguhnya dia pernah mendengar Saidina Abi Idris Al-Khulani r.a berkata : “Aku pernah mendengar Saidina Hudzaifah Bin Yaman r.a berkata : “Sesugguhnya manusia biasa bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan dengan kebaikan, akan tetapi aku pula bertanya kepada baginda mengenai keburukan kerana takut aku ditimpa olehnya, sesungguhnya kami ini pernah tinggal di zaman jahiliyyah dan jahat pula, lalu Allah telah mendatangkan kepada kita kebaikan, lalu adakah kejahatan lagi selepas kebaikan ini ?”, jawab Baginda s.a.w : “Ya ada, tetapi terdapat kekurangan dan perselisihan di dalamnya”. Maka aku bertanya lagi : “Apakah kekurangan dan perselisihan itu ?”. Jawab Baginda s.a.w : “Akan ada segolongan yang tidak menjadikan sunnahku sebagai sunnah dan tidak pula megambil petunjuk dengan petunjukku, dari kalangan mereka ada yang engkau kenali dan ada yang tidak engkau kenali”. Aku bertanya lagi : “Adakah akan berlaku keburukan yang lain pula selepas kebaikan itu ?”. Jawab Baginda s.a.w : “ Ya, selepas itu akan ada orang-orang yang menyeru manusia ke Neraka Jahannam. Barangsiapa yang menyahut seruan mereka itu, mereka akan dicampakkan ke dalam neraka itu”. Aku bertanya lagi : ” Wahai Rasulullah ! , tunjukkanlah kepada kami akan sifat-sifat mereka itu ?”. Jawab Baginda s.a.w : ” Baiklah, mereka itu sebangsa dengan kita dan bertutur di dalam bahasa kita”. Aku bertanya lagi : “Wahai Rasulullah !, apakah yang perlu aku perbuat ketika itu andainya aku masih hidup ? ”. Jawab Baginda s.a.w : “ Engkau hendaklah bersama jemaah / persatuan Islam dan pemimpin mereka ”. Aku bertanya lagi : “Bagaimana sekiranya ketika itu sudah tiada jemaah Islam dan pemimpin Islam ? ”. Baginda menjawab : “ Engkau hendaklah memencilkan (uzlah) diri kamu daripada kumpulan mereka walaupun engkau terpaksa memakan akar-akar kayu dan tinggallah engkau di dalam keadaan itu sehingga engkau mati” ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7084 “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh , Kitab al-Fitan , Hadis ke-7084 .

Demikianlah beberapa dalil utama yang menjadi asas pegangan kepada Golongan Pertama di atas . Selain itu , mereka bukan sahaja mengatakan TIDAK DIBERNARKAN menentang sebarang Kerajaan Islam yang zalim , MALAHAN mereka juga berpendapat bahawa setiap orang yang diseru oleh Kerajaan Islam yang dipimpin oleh golongan yang zalim itu UNTUK MENENTANG DAN MENGHAPUSKAN golongan lain yang mahu menjatuhkan dan menentang kerajaan itu sebagai WAJIB . Ertinya : Wajib taat kepada kerajaan yang zalim itu apabila diminta bersama-sama mereka menentang para pembangkang ! ~ Lihat : BADAI’E as-SONAI’E , oleh : al-‘Allamah al-Kisani rh ( Jilid 7 , Halaman : 140 ) .

#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#

{ 2 } ~ GOLONGAN KEDUA :

Golongan kedua pula berpendapat bahawa hendaklah digunakan cara yang keras dan militan apabila perlu demi menumbang sesebuah kerajaan yang zalim .

DALIL – DALIL GOLONGAN KEDUA :

1 ~ Ertinya : “ Hendaklah kamu saling bantu-membantu di dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu saling bantu-membantu di dalam perkara dosa dan permusuhan “ ~ Ayat 3 , Surah al-Ma-idah .

2 ~ Ertinya : “ Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran , maka hendaklah dicegah dengan tangannya ( kuasanya ) , maka jika dia tidak berupaya , hendaklah dengan lidahnya dan jika dia masih tidak berupaya dengan lisan , maka hendaklah dengan hatinya , kerana itu adalah selemah-lemah iman “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rh . al-Imam Abu Daud rh , al-Imam at-Tirmidizie rh , al-Imam an-Nasaie rh dan al-Imam Ibnu Majah rh .

3 ~ Ertinya : “ Tidak ada seorang nabi pun yang diutus Allah daripada umat sebelumku melainkan baginda mempunyai para pembantu dan sahabat yang menjadikan sunnah baginda sebagai contoh dan mengikuti pula arahannya . Kemudian , datanglah pula satu golongan yang buruk selepas itu yang mana mereka hanya pandai berkata tetapi tidak pula mempraktikkannya , dan mereka itu juga mempraktikkan apa yang tidak pernah diperintahkan kepada mereka . Sesiapa sahaja yang berjihad menentang mereka dengan tangannya maka itulah orang yang sebenarnya beriman , dan sesiapa pula yang berjihad menentang mereka dengan lidahnya maka itulah juga orang yang benar-benar beriman , dan sesiapa sahaja yang menentang mereka dengan hatinya ( tidak redha dengan apa yang dilakukan oleh mereka ) maka itu juga adalah orang yang beriman . Dan tiadalah lagi iman walaupun sebesar biji sawi selepas ( tahap terakhir itu ) “ ~ Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rh .

4 ~ Ertinya : Daripada Saidina Ibnu ‘Umar r.a , daripada Baginda Nabi s.a.w yang bersabda : “ Dengar dan patuh itu adalah satu kewajipan selagi mana seseorang itu tidak diperintahkan untuk berbuat maksiat . Dan sekiranya dia diperintahkan berbuat maksiat , maka tidak adalah ketika itu dengar dan patuh “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh .

5 ~ Ertinya : Daripada Saidina Tariq Bin Syihab r.a menceritakan : Pernah pada satu ketika ada seseorang lelaki datang bertanya Baginda Rasululullah s.a.w yang telah meletakkan kakinya di pelana tunggangannya , dia bertanya : “ Apakah bentuk jihad yang paling utama ? “ , Jawab Baginda s.a.w : “ Bercakap benar di hadapan seorang pemerintah yang zalim “ ~ Hadis Sahih diriwayakan oleh al-Imam an-Nasaie di dalam Kitab al-Bai’ah .

6 ~ Ertinya : Daripada Saidina Said Bin Zaid ra , dia berkata : Aku pernah mendengar Baginda Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya , maka dia adalah syahid . Dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan agamanya , maka dia adalah syahid . Dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan darahnya , dia adakah syahid dan sesiapa yang mati kerana mempertahankan ahli keluarganya , maka dia adalah syahid “ ~ Hadis Hasan Sahih diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmidzie rh di dalam Kitab ad-Diyat .

7 ~ Ertinya : Daripada Saidina Huzaifah Bin al-Yaman r.a , daripada Baginda Nabi s.a.w yang bersabda : “ Kamu mestilah melakukan perkara yang makruf ( kebajikan ) dan hendaklah juga kamu mencegah kemungkaran , ataupun ( jika tidak kamu berbuat demikian ) , hampir-hampir sahaja Allah-Nya menurunkan azab ke atas kamu , kemudian kamu pun berdoa kepada-Nya tetapi doa kamu tidak diperkenankan-Nya “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmidzie rh di dalam Kitab al-Fitan dan al-Imam Ahmad di dalam Baqi Musnad al-Ansor .

Pandangan Golongan Kedua ini ~ menurut al-Imam Abul Hasan al-‘Asya’ari rh ~ dinisbahkan kepada majoriti Kaum Muktazilah , Khawarij dan majoriti kelompik Murji-ah dan sebahagian penganut Ahlus Sunnah Wal Jama’ah ~ Lihat : MAQALAT al-ISLAMIYYIN , Jilid : 1 , Halaman : 141 & Jilid : 2 , Halaman : 140 .

Al-Imam Ibnu Hazm rh pula menisbahkan pegangan golongan kedua ini kepada majoriti Para Sahabat r.a , di antara mereka ialah : Saidina ‘Ali Bin Abi Talib r.a dan semua sahabat r.a yang bersama-samanya , Saidatina ‘Aisyah r.a Ummu al-Mukminin , Saidna Tolhah r.a , Saidina az-Zubair r.a dan para sahabat yang bersama-sama mereka r.a . Pendapat ini jugalah yang dipegang oleh para sahabat r.a , tabi’ien r.a , tabie’ at-Tabi’ien r.a serta umat Islam yang menentang kezaliman yang dibawa oleh Kerajaan Bani Umaiyah dan Kerajaan ‘Abbasiah , seperti Saidina al-Hussein r.a , Saidina ‘Abdullah Bin Zubair r.a dan dipersetujui pula pandangan ini oleh al-Imam Abu Hanifah rh , al-Imam Syarik rh , al-Imam Malik rh , al-Imam asy-Syafi’e rh , al-Imam Daud rh dan selain mereka lagi daripada majoriti Fuqaha’ rh.

Al-Imam Ibnu Hazm rh menyatakan juga : “ Kesemua fuqaha’ ( cendekiawan Fiqh ) di atas telah bersetujui dengan pandangan golongan kedua itu dengan cara , sama ada menyebutnya di dalam fatwa-fatwa mereka atupun dengan cara menghunuskan pedang mereka apabila mereka melihat kemungkaran itu “ ~ Lihat : al-FISOL FIL MILAL WAN NIHAL , oleh : al-Imam Ibnu Hazm rh , Jilid : 4 , Halaman : 171 & 172 .

#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#

PANDANGAN YANG PALING KUAT DAN PALING SESUAI :

Pandangan yang paling kuat dan paling sesuai dengan ajaran Islam ialah PANDANGAN YANG DIPEGANG OLEH GOLONGAN KEDUA DARI KALANGAN PARA ULAMA’ R.A DAN UMAT ISLAM RH . Ini disebabkan sebab-sebab berikut :

{ 1 } ~ Ayat al-Quranul Karim ( Ayat 69 drp Surah an-Nisa’ ) itu sendiri ADALAH DALIL UTAMA kepada golongan kedua ( lebih berpihak kepada golongan kedua dan bukannya bagi golongan pertama ) . Ini difahami sendiri daripada ayat tersebut yang membawa maksud : Taat kepada Allah dan taat kepada Baginda Rasulullah s.a.w adalah TAAT YANG TIDAK BERBELAH BAGI DAN BERSIFAT TOTAL ( MUTLAQ ) , sedangkan taat kepada pemerintah adalah ketaatan yang bersyarat ( MUQAYYAD ) iaitu selagi mana seseorang pemimpin itu taat kepada Allah Ta’ala dan taat kepada Baginda Rasulullah s.a.w .

{ 2 } ~ Di dalam al-Quranul Karim sendiri ( ayat 8 drp Surah al-‘Ankabut ) ada menyebut bahawa TIDAK DIBERNARKAN TAAT kepada kedua ibu-bapa jika mereka berdua memerintahkan anaknya berbuat syirik . Kalau dengan kedua-ibu bapa pun tidak dibenarkan ditaati mereka 100 % , maka betapa pula dengan seorang pemerintah ? .

{ 3 } ~ Hadis-Hadis yang dinyatakan oleh golongan pertama itu semuanya telah dimansukhkan ( dihapuskan ) oleh hadis-hadis yang datang selepas itu ( yang kemudiannya dijadikan hujah bagi golongan pertama ) . Dan hadis-hadis yang dipegang oleh golongan pertama itu sebenarnya adalah hadis-hadis yang diucapkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w di AWAL KEMUNCULAN DAKWAH ISLAM DAN IANYA HANYA SESUAI DILAKSANAKAN DI KALA UMAT ISLAM DI DALAM KELEMAHAN .

{ 4 } ~ Tidakkah masuk akal untuk mewajibkan seseorang muslim itu semestinya taat 100 % dan 24 jam kepada pemerintah yang zalim dengan alasan pemerintah yang zalim itu MASIH BERAGAMA ISLAM . Dan ini bukan sahaja tidak diterima oleh logik dan akal yang waras , bahkan ia sendiri ditentang oleh hadis-hadis yang dinyatakan oleh golongan kedua di atas .

{ 5 } ~ Ini bermakna , umat Islam wajib mendesak seseorang pemimpin Islam yang telah melakukan kezaliman itu agar berundur daripada jawatannya . Ini kerana kezaliman itu sendiri tidak layak dengan amanah yang dipegang oleh seseorang pemimpin Islam . Dan desakan itu tidak berjaya secara nasihat dan kaedah-kaedah lain ( contohnya : pilihanraya ) , maka di waktu itu dibenarkan DIGUNAKAN CARA YANG KERAS ( secara revolusi ataupun penentangan secara bersenjata ) apabila keadaan semakin mendesak .

{ 6 } ~ Ini juga TIDAKLAH BERMAKNA setiap kita dituntut menentang sebarang kezaliman dengan cara yang keras ataupun militan , melainkan apabila itulah satu-satunya cara yang ada ATAUPUN di waktu itu kuasa pemerintahan sudah berada di tangan umat ( rakyat ~ iaitu dengan melakukan revolusi rakyat ) .

{ 7 } ~ Dan di dalam bertindak , umat Islam hendaklah CERDIK dan BERHATI-HATI . Dan Islam sendiri tidak memerintahkan umatnya untuk memilih jalan yang lebih merbahaya ( seperti gerakan militan , revolusi dan sbgnya ) , sebaliknya diutamakan jalan yang lebih selamat ( nasihat , ceramah dan pilihanraya ) dan lebih aman untuk kesinambungan dakwah Islam dan survival umat Islam .

#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#

1 ~ Kata Sudara Aumchak :

Saya juga pernah terbaca artikel di website aliran salafi yang menegaskan perkara ini, dan menyatakan kesilapan jemaah islam yang mengkritik secara terbuka pihak pemerintah/kerajaan. Ini dikuatkan dengan pendirian oleh bekas mufti Arab Saudi bin Baz yang tidak bersetuju dengan cara kritikan lantang/ golongan pembangkang di kalangan ahli akademik/ulama di negara tersebut terhadap pemerintah.

Jawapan kami : Apa yang dinyatakan oleh al-‘Allamah Bekas Mufti Arab Saudi itu adalah pandangan yang dipegang oleh golongan pertama di atas . Namun untuk mengatakan bahawa tidak boleh menasihati secara terbuka sesebuah kerajaan Islam yang “ tergelincir “ daripada landasan yag hak , maka kata-kata ini TIDAK DAPAT DITERIMA memandangkan ada di kalangan para sahabat r.a sendiri menasihati sesama mereka secara terbuka ! . Sila pelajari semula KISAH PARA SAHABAT R.A ! .

Ataupun , jika masih mahu diterima pandangan beliau rh itu , maka itu adalah berdasarkan konteks masyarakatnya yang diperintah oleh Kerajaan Arab Saudi . Kerajaan Arab Saudi adalah Kerajaan Islam kerana menjadikan al-Quranul Karim dan as-Sunnah sebagai dasar dan perundangan tertinggi negara itu . Dan ini bermakna Kerajaan Arab Saudi adalah KERAJAAN ISLAM YANG SAH , sekalipun terdapat beberapa kekurangan dan polisi mereka yang bertentangan dengan Islam .

Adapun kerajaan di negara kita BUKANLAH KERAJAAN ISLAM YANG SAH DI SISI SYARIAT kerana perlembagaan negara kita sendiri pun tidak menjadikan al-Quranul Karim dan as-Sunnah sebagai dasar dan perlembagaan utama .

Kerajaan Malaysia dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang beragama Islam . Ya ! , itu memang diakui semua , akan tetapi JANGAN PULA DISAMAKAN KERAJAAN ISLAM DENGAN KERAJAAN YANG DIPIMPIN OLEH UMAT ISLAM .

Dan Jangan pula disamakan NEGARA ISLAM dengan NEGARA YANG DIPIMPIN OLEH UMAT ISLAM , sebagai mana tidaklah sama di antara BANK ISLAM dengan BANK YANG PENGARAHNYA ADALAH ORANG ISLAM !!! . :non

Tambah lagi sahabat saya ini mengatakan bahawa nasihat/teguran perlu diberikan bukan untuk berkepentingan lain (politik/meraih sokongan dsb) selain kerana Allah semata-mata.

Jawapan kami : Ya , memang benar nasihat dan teguran yang diberikan HENDAKLAH kerana Allah Ta’ala dan demi melaksanakan perintah Baginda Rasulullah s.a.w serta demi menyelamatkan umat Islam daripada kezaliman dan kemungkaran . Ya , kata-kata di atas adalah benar sekali .

Namun , kata-kata di atas TIDAKLAH BERMAKSUD bahawa para ulama’ dan umat islam yang masuk ke kancah politik hari ini sebagai orang-orang yang tidak ikhlas kerana Allah Ta’ala .

Beranikah kawan saudara itu menafikan keikhlasan para pejuang Islam yang sanggup bersusah-payah dan berkorban jiwa dan raga demi kedaulatan Islam !? .

Beranikah kawan saudara itu menyatakan bahawa mereka yang ditangkap secara zalim kerana memperjuangkan Islam itu sebagai golongan yang BERMOTIF politik semata-mata ( tidak ikhlas ) !? .

Beranikah kawan saudara itu menyatakan bahawa jika mahu benar-benar ikhlas maka hendaklah dipegang hujah-hujah golongan pertama di atas SAHAJA , ataupun , sekadar memberi nasihat sahaja kepada pemerintah yang zalim !? .

3 ~ Tanya Saudara Aumchak pula :

Sekiranya benar metod salafi demikian, bagaimana pula gerakan sebuah parti yang memperjuangkan Islam di negara kita. Bukankah teguran-teguran/kritikan berkepentingan politik (menjatuhkan lawan). Pernah juga terjadi seorang pemimpin pihak pembangkang mendakwa seorang pemimpin kerajaan menonton video lucah. Adakah metod ini diterima Islam. (Sekadar contoh bukan untuk memburukkan yang sudah tiada)

Jawapannya : Metode SALAFI telah pun kami bentangkan di atas . Dan pandangan daripada golongan kedua di atas juga adalah pandangan yang dipersetujui jugak oleh MAJORITI FUQAHA’ DAN SALAFUS SOLIHIN R.A . Kawan Saudara Aumchak di UK itu TIDAK SEPATUTNYA MENUTUP SEBELAH MATANYA dengan mengatakan bahawa HANYA pandangan dia ( yang sama dengan pandangan golongan pertama di atas ) sahajalah YANG BENAR DAN YANG “ PURE SALAFI “ ! .

Dan kawan saudara juga tidak sepatutnya MENGEKSPLOITASI DALIL yang biasanya menjadi “ permainan “ bagi golongan yang konon-kononnya adalah salafi !!! .

Teguran dan nasihat yang diberikan oleh parti / gerakan / jemaah Islam kepada pemerintah yang zalim ( sama ada ia Islam ataupun tidak ) TIDAKLAH BOLEH DIANGGAP SUDAH SEMESTINYA TIDAK IKHLAS KERANA IA LEBIH BERMOTIF POLITIK . Ini sudah pun kami jelaskan sebentar tadi .

Adapun mengenai dakwaan : SEORANG PEMIMPIN KERAJAAN MENONTON VIDEO LUCAH , maka perkara itu hendaklah dibuktikan oleh si pendakwa . Ini bersesuaian pula dengan kaedah fiqh yang menyebut : “ AL-BAIYYINAH ‘ALA MUDDA’IE WAL YAMIN ‘ALA MAN ANKARA “ ( Bukti hendaklah dibawa oleh pihak pendakwa dan bersumpah itu menjadi hak ke atas orang yang menafikan dakwaan ) . Maka hal itu lebih patut disoal kepada orang yang mendakwanya dan bukannya ditanyakan kepada al-Ahkam Online ! .

4 ~ Kami di al-Ahkam. Net ini sendiri pernah membicarakan hal politik Islam ini berdasarkan padangan SALAFI ( Para Salafus Solihin r.a ) . Cuba lihat kembali perbincangan tersebut di :

Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad

#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

1 ~ al-MAS-ULIYYAH FIL ISLAM : DIRASAH MUQORONAH
{ Teks Pengajian Master , Fakulti Syariah & Perundangan , Universiti al-Azhar asy-Syarif , Kaherah }
Oleh : Al-'Allamah Dr. Fuad Muhammad an-Nadi ha
Terbitan : az-Zahra’ Lil I’elam al-‘Arabi ( 1986 m )


2 – FATHUL BARY : SYARH SAHIH al-IMAM al-BUKHARI RH
Oleh : Syekhul Islam al-Hafiz al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqolani rh
Jilid ke- 14 , Kitab al-Fitan , Halaman : 491 – seterusnya
Terbitan : Darul Fikr , Beirut ( 1995 )

0 comments:

Post a Comment