Dec 19, 2008

Apakah Beza Antara Surau Dengan Masjid

Assalamualaikum

Saya ingin bertanya, apakah ada perbedaan antara surau dan masjid? Kalau ada, apakah perbedaannya itu dan kalau tiada perbedaan, apakah wanita haid boleh duduk dalam surau?

Wassalamualaikum wbt

وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم


{ بسم الله الرحمن الرحيم }


(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Para ulama’ telah menetapkan beberapa pengenalan ( takrif ) mengenai hal tersebut sebagaimana berikut ini :

1- MASJID : ialah satu tempat solat tertentu yang bukan menjadi milik orang-perseorangan, ataupun milik sesebuah badan / syarikat, yakni ianya merupakan satu tempat yang sudah pun diwaqafkan untuk dijadikan tempat solat awam.

2- MUSOLLA : ialah satu tempat solat orang ramai , yang tempatnya masih lagi menjadi milik individu ataupun badan tertentu, yakni ianya belum lagi diwaqafkan untuk solat bagi orang-orang awam. “ Musolla “ ini adalah perkataan Arab ( sebagaimana juga perkataan “ MASJID “ ) yang biasanya kita ertikan sebagai : “ Tempat Sembahyang “.

3- SURAU : ialah perkataan berbahsa Melayu. Saudara-saudara kita di sebelah utara Semenanjung Malaysia menggelarnya sebagai “ MANAQSAH “ , dan bagi masyarakat Pantai Timur pula menggelarnya sebagai “ BALASOH “. Surau juga seperti masjid dimana ianya diwaqafkan untuk kegunaan masyarakat awam, tetapi perbezaannya dengan masjid ialah di surau tidak didirikan syiar Solat Jumaat , akan tetapi ianya didirikan di tempat yang digelar sebagai “ MASJID “.

4- MASJID : ianya juga ialah satu nama umum bagi mana-mana tempat yang disitu didirikan solat, samada ianya milik orang perseorangan ataupun sudah diwaqafkan untuk kegunaan awam, ataupun ianya adalah milik sesebuah badan ataupun syarikat mahupun sebaliknya.

Walhal, Al-Quran Al-Karim dan As-Sunnah tidak pula menetapkan sama-sekali apakah yang disebut “ MASJID “ , dan apakah pula “ MUSOLLA “ itu. Oleh sebab itu dalam perkara yang seperti ini perlu kita timbang-timbangkan dan banding-bandingkan dengan keterangan-keterangan di dalam agama kita yang mulia ini .

Marilah kita cuba timbang-timbangkan dan banding-bandingkan dengan keterangan-keterangan daripada Hadist-Hadist Rasulullah s.a.w ;

Baginda Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda :

( I ) - HADIS PERTAMA :

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ : (( قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلَّا الْحَمَّامَ وَالْمَقْبَرَة ))َ

Ertinya : Daripada Abu Said Al-Khudry , beliau berkata : (( “ Rasulullah s.a.w pernah bersabda : Bumi itu keseluruhannya adalah MASJID , KECUALI kawasan bilik air / tandas dan kawasan perkuburan “ )) ~ Diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal rh – didalam musnadnya : Baqi Musnad Al-Muktsirin : 11, 483.


( II ) - HADIS KEDUA :


حديث عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا تَقُولُ: (( .... فَإِنِّي لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُب .... ))

Ertinya : Hadis yang diriwayatkan oleh Saiyidah Aisyah r.a : Pernah Rasulullah s.a.w bersabda : “….Maka sesungguhnya aku tidak halalkan masjid bagi wanita yang haidh dan orang-orang yang berjunub “. ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud di dalam Sunanya : Kitab At-Toharah : 201.


PERBINCANGAN MENGENAI HADIS-HADIS DI ATAS :

Di dalam Sirah ( Kisah Perjalanan Hidup ) Rasulullah s.a.w sendiri dinyatakan bahawa, pada awalnya ( asalnya ) rumah Baginda Rasulullah s.a.w sendiri adalah di sebelah Masjid An-Nabawi di Madinah Al-Munawwarah. Namun, setelah diperluaskan beberapa kali Masjid An-Nabawi itu, maka rumah Baginda Rasulullah s.a.w sendiri terkena dan termasuk di dalam kawasan Masjid yang mulia itu. Sirah juga membuktikan bahawa Maqam Rasulullah s.a.w itu juga pada awalnya ( asalnya ) adalah bilik Baginda s.a.w, yang mana sekarang maqam itu juga termasuk di dalam kawasan ( ruang dalaman ) bagi Masjid An-Nabawi Asy-Syarif.

Jadi kalau kita berpegang dengan hadis yang menyatakan bahawa seluruh bumi ini adalah MASJID, maka sudah tentu rumah Baginda s.a.w itu juga adalah masjid. Walhal sebenarnya tidak begitu, kerana kalau kita pegang hadis itu secara “ harfiah “ ( keterangan secara zahir ), maka sudah tentu isteri-isteri Baginda s.a.w yang juga merupakan Ibu-Ibu bagi orang-orang Islam yang suci itu kesemuanya TIDAK PATUT berada di dalam rumah baginda s.a.w ketika di dalam keadaan “ tidak suci “ , kerana tatkala itu juga mereka turut berada di dalam Masjid An-Nabawi. Namun realitinya, hadis-hadis Rasulullah s.a.w dan sirah sendiri tidak pernah ada yang menunjukkan bahawa isteri-isteri Baginda s.a.w yang suci-murni itu meninggalkan rumah Baginda s.a.w ketika mereka didatangi “ waktu tidak suci “ !.


Dan begitulah juga, andainya kita berpegang kepada keumuman hadis yang menjelaskan bahawa seluruh bumi ini adalah masjid , maka sudah tentu akan menyebabkan kesukaran bagi wanita-wanita yang sedang haidh dan juga mereka yang berjunub. Ke mana mereka hendal pergi kerana kesemua bumi ini difahami sebagai “ masjid “ ?. Ini sudah tentu bertentangan dengan tujuan Islam itu diturunkan Allah Ta’ala iaitu bersifat : MEMUDAHKAN . BUKANNYA MENYUKARKAN !.

Oleh kerana itu, tidak boleh kita berpegang dengan keumuman hadis yang menyifatkan bahawa seluruh bumi ini adalah masjid ( kecuali tandas-tandas dan perkuburan ). Yang jelas, yang dimaksudkan dengan masjid adalah sebagaimana di dalam di dalam takrif 1 , dan bukannya sebagaimana di dalam takrif ke-4.


MASALAH WANITA HAID DI DALAM SURAU :

Sebagaimana dijelaskan, perkataan surau tiada di dalam istilah Bahasa Arab. Oleh kerana itu, ianya perlulah difahami menurut ‘uruf ( kebiasaan ) masyarakat kita. Apatalah lagi ‘uruf ini juga merupakan salah-satu daripada sumber-sumber perundangan Islam.

Masyarakat kita biasanya membezakan bahawa MASJID : Ialah satu tempat umum untuk didirikan solat jemaah dan Solat Jumaat . Manakala SURAU pula tidak didirikan di dalamnya Solat Jumaat.

Walaupun begitu , ada juga masjid-masjid kecil ( kebiasaannya di kampung-kampung ) yang sudah tidak lagi mengadakan Solat Jumaat kerana adanya Masjid Besar yang berhampiran dengan beberapa buah kampung itu yang mampu menampung dan menyatukan penduduk beberapa buah kampung berdekatan untuk mengadakan Solat Jumaat di situ. Masjid Besar seperti ini dikenali sebagai : “ MASJID JAMIK “. Digelar sebagai “ JAMIK “ kerana makna asalnya di dalam Bahasa Arab bermaksud : “ Yang Menyatukan “. Digelar juga sebagai “ JAMIK “ kerana di situlah didirikan Solat Jumaat.

Jadi di sini sudah jelas adanya PERBEZAAN DI ANTARA SURAU DENGAN MASJID , dari sudut didirikan Solat Jumaat di dalamnya !.

AKAN TETAPI, Surau pula sama dengan masjid daripada sudut : KEDUA-DUANYA ADALAH DIWAQAFKAN KEPADA MASYARAKAT AWAM UNTUK DIDIRIKAN SOLAT BERJEMAAH.


Merujuk kepada ‘uruf yang berlaku di kalangan masyarakat kita , maka : SEBAHAGIAN BESAR ASHABUS-SAMAHAH MUFTI-MUFTI KITA, TUAN-TUAN GURU KITA, PARA ULAMA’ KITA telah menyatakan :

1 – Wanita-wanita yang haid boleh memasuki surau, tetapi haram memasuki masjid.

2 – Di dalam masjid boleh didirikan solat sunat Tahiyatul-Masjid, tetapi tidak pula di selainnya .


Namun begitu, ada juga di kalangan beberapa ulama’ di Nusantara ini yang membantah kenyataan di atas dengan hujah-hujah :

1 – Bagaimana wanita-wanita yang sedang haidh boleh memasuki surau, tetapi tidak pula ke dalam masjid, walhal surau dan masjid itu kedua-duanya adalah tempat umum yang diwakafkan untuk didirikan solat berjemaah ?.

2 – Jika di dalam masjid kita boleh mendirikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid , maka mengapa pula tidak boleh di surau-surau walhal kedua-duanya itu juga adalah tempat umum yang diwaqafkan untuk didirikan solat berjemah ?.


PANDANGAN SAYA :

Perselisihan pendapat ini berlaku kerana tiadanya satu panduan yang tepat daripada Baginda Rasulullah s.a.w mengenai “ Perbezaan Di Antara Masjid Dengan Surau “ . Lantaran itu semua hukum-hakam yang berkaitan dengan perbezaan di antara kedua-dua tempat sembahyang itu lahir daripada keputusan yang dicedok dan diperbahaskan daripada sudut-sudut tinjauan dan perbahasan di atas.

Menurut pandangan saya : Lebih baik kita berpegang dengan apa yang telah dinyatakan oleh sebahagian besar ( majoriti ) ulama’ mengenai perbezaan di antara Masjid dengan Surau dan hukum-hakam yang berkaitan dengan kedua-duanya kerana , keputusan yang diambil oleh majoriti ulama’ LEBIH HAMPIR KEPADA KEBENARAN DAN LEBIH SELAMAT DARIPADA KESILAPAN berbanding dengan keputusan sebahagian kecil ( minoriti ) para ulama’.

Kita juga menasihatkan agar masyarakat awam tidak masuk campur di dalam perkara-perkara khilafiyah ( yang diperselisihkan ) di kalangan ulama’ memandangkan mereka tidak mempunyai kemampuan ilmu untuk memahami setiap hujah dan sudut pandangan para ulama’ yang berselisih pendapat itu.

Kita juga bimbang, andainya masyarakat awam yang tidak mempunyai kemampuan ilmu yang kental ini “ cuba-cuba “ masuk ke dalam “ arus-perbincangan “ dan “ titik-perselisihan “ di kalangan ulama’ ini, mereka pula yang akan menjadi “ pening “ dan “ bingung “ yang akhirnya mereka akan mula mencemuh ulama’ itu dan ulama’ ini, ataupun mereka sendiri akan dipermainkan oleh Golongan Yahudi dan Kristian yang suka melihat umat Islam ini “ tenggelam “ di dalam “ perkara-perkara khilafiyah seperti ini “.

Akhir kata, saya lebih cenderung andainya saudari yang bertanya berpegang dengan apa yang telah diputuskan oleh golongan majoriti ulama’ di atas !.

SILA RUJUK JAWAPAN AL-FADHIL USTAZ THTL DI DALAM SJ – 1381 :
http://al-ahkam.com.my/forum/showflat.php?Cat=&Board=UBB8&Number=5910&Forum=All_Forums&Words=surau%20&Match=Entire%20Phrase&Searchpage=0&Limit=25&Old=allposts&Main=5909&Search=true#Post5910




Wallahu A’alam Bissowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad


و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

1 / Rajab / 1423 H
9 / September / 2002 M

0 comments:

Post a Comment