Dec 16, 2008

Tahap Mencegah Kemungkaran

anakmurid »

Assalamualaikum!

Saya ada mengikuti penerangan Ustaz tentang amalan menyapu muka selepas solah. Dalam penerangan tersebut ada Ustaz sebutkan tentang 'tahap-tahap mencegah mungkar'. Saya amat berharap jika dapat kiranya Ustaz menjelaskan hal tersebut dengan lebih terperinci untuk kebaikan kita bersama. Wassalam



******************************************
pendekar »

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara anakmurid yang sering mengunjungi kami . Kami mendapati soalan-soalan saudara semuanya bermutu dan soalan-soalan seperti itu sudah tentu tidak datang daripada seorang murid sekolah rendah / menengah rendah , melainkan daripada murid peringkat menengah atas ataupun yang berada di alam universiti . Jadi kami cadangkan saudara menukar nick kepada “ mahasiswa “ :yess

Kami memohon maaf di atas kelewatan menjawab soalan saudara yang dikirimkan pada 23 / Jun / 2003 .

Berikut adalah jawapan mengenai soalan di atas :

APAKAH ERTINYA al-AMRU BIL MA'ARUF WAN NAHYU 'ANIL MUNKAR?.

Ertinya ialah : Memerintahkan ataupun melaksanakan Kebaikan / Kebajikan yang memang telah dimaklumi berdasarkan syarak dan akal dan juga mencegah dan membanteras sebarang bentuk kemungkaran menurut perspektif syarak dan akal yang sihat .

HUKUM MELAKSANAKANNYA:

al-Amru Bil Maaruf TIDAKLAH BOLEH DIPISAHKAN daripada an-Nahyu 'anil Munkar , kerana kedua-duanya adalah ibarat aur dengan tebing dan isi dengan kuku .

Kedua-duanya adalah teras kepada agama Islam dan seluruh ibadat ini adalah berpaksi kepadanya . Jika bumi tanpa paksi ( kutub utara dan selatan ) akan menyebabkan hancur-berkecainya ia , maka tanpa al-Amru Bil Ma'aruf Wan Nahyu 'Anil Munkar akan menyebabkan kekuatan dan keagungan agama ini hancur berkecai .

Walaupun ia tidak termaktub sebagai RUKUN ISLAM akan tetapi kewajipan melaksanakannya TIDAKLAH BOLEH DISIA-SIAKAN , APATAH LAGI DIPERTIKAIKAN . Samalah juga dengan kewajipan menegakkan Negara Islam , Kewajipan Berjihad , Kewajipan Menutup Aurat , Kewajipan Belajar dan sebagainya , walaupun itu semua tidaklah termasuk di dalam Rukun Islam , akan tetapi semuanya itu adalah WAJIB dilaksanakannya .

Kewajipan menegakkan al-Amru Bil Ma'aruf Wan Nahyu 'anil Munkar adalah satu perkara yang WAJIB SECARA QOTH'IE ( MUKTAMAD ) berdasarkan al-Quranul Karim , as-Sunnah dan Ijma' Ummat .

Di antara dalil-dalilnya ialah :

Ertinya : " Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran , dan mereka itulah orang-orang yang berjaya " ~ Surah Ali 'Imran , ayat 104 .

Ertinya : " Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia , ( dengan syarat ) kamu melaksanakan kebajikan dan mencegah juga kemungkaran serta beriman dengan Allah . Jika golongan Ahlul Kitab itu beriman , pastilah itu lebih baik bagi mereka . Di kalangan mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang - orang yang fasiq " ~ Surah Ali 'Imran , ayat 110 .

Ertinya : " Golongan lelaki dan perempuan yang munafiq itu , sebahagan mereka sama sahaja di antara sebahagian mereka yang lain . Mereka itu adalah golongan yang menyuruh melakukan kemungkaran dan mencegah kebajikan itu dilaksanakan , dan mereka pula kedekut untuk membelanjakan nafkah pada jalan ketaatan . Mereka lupa akan Allah , maka Allah juga lupa akan mereka ( tidak memberi rahmat kepada mereka ) . Sesungguhnya golongan munafiq itu adalah orang-orang yang fasiq ( melampaui batas ) " ~ Surah at-Taubah , ayat 67 .

Ertinya : " Dan golongan lelaki dan perempuan yang beriman , sebahagian daripada mereka adalah pembantu-pembantu bagi sebahagian lain . Mereka itu adalah golongan yang melaksanakan kebajikan dan mencegah kemungkaran dan mereka juga adalah golongan yang mendirikan sembahyang , mengeluarkan zakat dan taat kepada Allah dan rasul-Nya . Mereka itulah orang-orang yang akan dirahmati Allah . Sesungguhnya Allah Amat Gagah Lagi Amat Bijaksana " ~ Surah at-Taubah , ayat 71 .

AKIBAT MENCUAIKAN PERINTAH INI :

Lihatlah akibat yang diterima oleh Bani Israel dahulu apabila mereka mencuaikan al-Amru Bil Ma’aruf Wan Nahyu ‘anil Munkar sebagaimana yang digambarkan oleh Allah Ta’ala melalui Surah al-Ma-idah ;

Ertinya : “ Orang-orang kafir daripada kalangan Bani Israel telah dilaknat di atas lisan Nabi Daud dan juga Nabi Isa anak kepada Maryam , dengan sebab mereka telah menderhakai dan telah melampaui batas “ ~ Ayat ke-78 .

Ertinya : “ Dan adalah mereka itu tidak pernah melarang kemungkaran yang mereka lakukan . Sesungguhnya amatlah jelek apa yang telah mereka lakukan itu “ ~ Ayat ke-79 .

Firman Allah Ta’ala di dalam Surah an-Nur pula :

Ertinya : “ ….hendaklah orang-orang yang menyalahi arahan ( Allah dan Rasul ) berhati-hati bahawa mereka itu akan ditimpa dengan fitnah ( bala ) ataupun azab yang amat pedih “ ~ Surah an-Nur , ayat 63

PERINGKAT-PERINGKAT PERLAKSANAANNYA :

Ini digambarkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w melalui hadisnya yang masyhur ;

Ertinya : “ Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran , maka hendaklah dicegah dengan tangannya ( kuasanya ) , maka jika dia tidak berupaya , hendaklah dengan lidahnya dan jika dia masih tidak berupaya dengan lisan , maka hendaklah dengan hatinya , kerana itu adalah selemah-lemah iman “ ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rh . al-Imam Abu Daud rh , al-Imam at-Tirmidizie rh , al-Imam an-Nasaie rh dan al-Imam Ibnu Majah rh .

Sabda Baginda s.a.w lagi :

Ertinya : “ Tidak ada seorang nabi pun yang diutus Allah daripada umat sebelumku melainkan baginda mempunyai para pembantu dan sahabat yang menjadikan sunnah baginda sebagai contoh dan mengikuti pula arahannya . Kemudian , datanglah pula satu golongan yang buruk selepas itu yang mana mereka hanya pandai berkata tetapi tidak pula mempraktikkannya , dan mereka itu juga mempraktikkan apa yang tidak pernah diperintahkan kepada mereka . Sesiapa sahaja yang berjihad menentang mereka dengan tangannya maka itulah orang yang sebenarnya beriman , dan sesiapa pula yang berjihad menentang mereka dengan lidahnya maka itulah juga orang yang benar-benar beriman , dan sesiapa sahaja yang menentang mereka dengan hatinya ( tidak redha dengan apa yang dilakukan oleh mereka ) maka itu juga adalah orang yang beriman . Dan tiadalah lagi iman walaupun sebesar biji sawi selepas ( tahap terakhir itu ) “ ~ Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rh .

### Daripada kedua-dua hadist di atas dapatlah kita ketahui bahawa marahil ( peringkat-peringkat ) al-amru Bil Ma’aruf Wan Nahyu ‘anil Munkar ialah :

Tahap Tertinggi Imannya : ~ Dengan menggunakan tangan ( kuasa ) .

Tahap Sederhana Imannya : ~ Dengan menggunakan lidahnya .

Tahap Selemah-lemah Iman : ~ Dengan menggunakan hatinya .


## Selepas tahap ketiga ini tiada lagi IMAN di hati seseorang itu !!! .

Dan daripada kedua-dua hadis di atas juga , para ulama’ rh telah membuat kesimpulan berkenaan dengan APAKAH SYARAT-SYARAT YANG PERLU ADA UNTUK DIPERANGI SESUATU KEMUNGKARAN ITU :

{ 1 } ~ Hendaklah kemungkaran itu kemungkaran yang sebenar-benarnya iaitu ia merupakan kemungkaran yang disepakati statusnya sebagai HARAM di kalangan para ulama’ .

Oleh itu di dalam perkara-perkara yang menjadi khilafiyyah ( diperselisihi ) di kalangan para ulama’ mengenai status hukumnya , tidaklah boleh diatasi kemungkaran itu dengan kekerasan .

Contohnya – contohnya :

Perkara-perkara yang makruh ~ tidaklah dianggap kemungkaran .

Meninggalkan perkara-perkara yang sunat ~ tidaklah dianggap kemungkaran .

Tidak boleh malarang orang mengambil gambar ataupun menjual patung-patung permainan kanak-kanak kerana ulama’ tidak sepakat di dalam memberikan hukum mengenai kedua-duanya .

Para pengikut mazhab al-Imam asy-Syafi’e tidaklah boleh berkasar kepada mazhab selainnya jika tidak dibaca qunut subuh ataupun dibaca AMIN secara nyata .

Para pengikut mazhab selain mazhab al-Imam asy-Syafie juga, tidaklah boleh berkasar kepada mana-mana umat Islam yang masih mahu mengikut mazhab al-Imam asy-Syafi’e itu di dalam bab batalnya air sembahyang apabila tersentuh di antara lelaki dengan wanita.

{ 2 } ~ Kemungkaran itu benar-benar lahir dan muncul , seperti ianya dilakukan di khalayak ramai . Adapun jika ia dilakukan secara sembunyi-sembunyi , maka kemungkaran seperti ini tidaklah dibenarkan dibuka dan didedahkan kepada khalayak .

Walaupun kemungkaran yang dilakukan secara tersembunyi itu tetap dianggap DOSA dan MAKSIAT , akan tetapi ia bukanlah kemungkaran yang paling utama untuk diperangi oleh kita.

{ 3 } ~ Hendaklah kita benar-benar mempunyai kuasa dan kemampuan untuk mencegah kemungkaran itu dengan kuasa . Kalau tidak , hendaklah dengan lidah dan kalau tidak juga , hendaklah dengan hati .

Contohnya : Jika kita benar-benar diberikan kuasa oleh peraturan dan penduduk setempat , maka bolehlah kita mencegah kemungkaran zina , khalwat , arak dan sebagainya dengan kekuatan . Kalau tidak , maka tidak boleh .

{ 4 } ~ Membanteras kemungkaran itu tidak menyebabkan lahirnya pula kemungkaran lain yang jauh lebih besar dosanya dan padahnya .

Contohnya : Tidak boleh menentang kemungkaran yang datangnya daripada pihak pemerintah dengan cara gerakan militan ( bersenjata ) , kerana itu menyebabkan kesemua gerakan dan persatuan Islam akan menghadapi tuduhan yang sama dan akan diharamkan .

Itulah keempat-empat tahap di dalam melaksanakan al-Amru Bil Ma’aruf Wan Nahyu ‘anil Munkar .

Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad


#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#~@~#

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

1 ~ RAUDAH al-MUTTAQIN SYARH RIYADH as-SOLIHIN
Oleh : Al-'Allamah ‘Abdul Qadir ‘Urfan ad-Dimasyqi rh
Jilid : 1 , Bab : 23 , Halaman : 234 - seterusnya
Terbitan : Darul Fikr , Beirut ( 2002 )

2 – IHYA’ ULUMIDDIN
Oleh : Al-‘Allamah Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali rh
Jilid : 1 , Kitab : al-Amru Bil Ma’aruf Wan Nahyu ‘anil Munkar , Halaman : 274 – seterusnya
Terbitan : Darul Kutub al-Ilmiyah , Beirut ( 2001 )

3 – MAU’IDZOH al-MU’MININ MIN IHYA’ ULUMIDDIN
Oleh : al-‘Allamah al-Imam Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dimasyqi rh
Kitab ke-17 , Halaman : 297 - seterusnya
Terbitan : Dar Ibn Rajab , el-Mansoorah , Mesir

4 – FIQH DAULAH MENURUT PERSPEKTIF ISLAM
Oleh : al-‘Allamah Syeikh Prof. Dr . Yusuf al-Qaradhawi ha
Terjemahan Oleh : al-Fadhil Ustaz Haji Juanda Haji Jaya
Terbitan : Maktabah al-Qaradhawi , Bandar Baru Bangi , Selangor ( 1998 )
http://www.syabab.com
Harga : RM 28.90

0 comments:

Post a Comment