Dec 16, 2008

Hadis Tentang Perang Sungai Furat

cikgu73 »

Assalamualaikum wmt Wkt Ahli-ahli panel yang dihormati sekelian

1. Bolehkan ahli panel terangkan hadis Nabi tentang Perang Furat.

Wassalam


************************************
pendekar »

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta'ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama' yang mukhlisin, para mujahidin di Jalan Allah Ta'ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Cikgu73 di atas soalan yang dikemukakan .

Mengenai soalan yang diajukan di atas , berikut ini adalah jawapannya dengan izin , taufiq dan petunjuk daripada Allah Ta’ala .

Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda :

Ertinya : Daripada Saidina Abu Hurairah r.a , bahawasanya Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda : (( “ Tidak akan terjadi qiamat sehinggalah Sungai Furat menjadi surut airnya, sehingga kelihatan sebuah gunung drp emas . Ramai orang yang berperang untuk merebutnya ( emas itu ) . Maka terbunuhlah setiap 99 orang daripada 100 orang yang berperang . Dan masing-masing yang terlibat berkata : “ Mudah-mudahan akulah yang menjadi orang yang terselamat itu “ )) ~ Hadist sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh dan al-Imam Muslim rh .

Hadist di atas telah pun dikeluarkan ( disampaikan ) oleh al-Imam al-Bukhari rh dan al-Imam Muslim rh dengan beberapa lafaz hadist dan sanad ( silsilah ) yang berbeza, tetapi semuanya menjurus kepada makna yang sama .

Al-Imam al-Bukhari rh meletakkan hadist ini di dalam Kitab al-Fitan , Bab-25 ( Khuruj an-Nar ) , hadist-7119 ( sbg mana dinyatakan oleh al-Imam Ibnu Hajar al-‘Asqolani rh di dalam Fathul Bary ).

Al-Imam Muslim rh pula meletakkan hadist ini di dalam Kitab al-Fitan wa Ashrot as-Sa’ah , Bab-786 ( Bab Iqtirob al-Fitan , Fath rodam Yaajuj wa Maajuj……) , Hadist-2323 sampai ke hadist-2327 ( Sbg mana dinyatakan oleh Prof. Dr. Musa Shahin Lashin ha di dalam Fathul Mun’iem ).

Dr. Abdul Muhdi Abdul Qadir Abdul Hadi ( pensyarah hadist di Universiti al-Azhar ) memberikan nombor hadist riwayat al-Imam Muslim rh itu sebagai berikut : 4 / 2219 & 29 / 2894 ( Kitab al-Fitan , Bab La Taqumus Sa’ah hatta yahsiral furat …. ) .

Ramai yang berpendapat bahawa hadist di atas adalah satu isyarat yang jelas kepada dekatnya kita dengan Hari Kiamat , dan apatah lagi apabila tentera bersekutu pimpinan Amerika Syarikat dan Britain ( La’anatulLahi ‘alaihim ajma’ien ) menyerang kembali Iraq baru-baru ini ( Perang Teluk II ) .

Selain itu , “ emas “ yang dinyatakan di dalam hadist di atas itu sebenarnya bukanlah emas sebagai mana yang difahami secara zahir hadist , bahkan maksud sebenarnya ialah PETROL yang dikenali sebagai “ emas hitam “ .

Oleh itu , jelaslah hadist di atas BENAR-BENAR menunjukkan kepada apa yang berlaku di Iraq sekarang .

Saya kurang bersetuju dengan pandangan di atas kerana :

( a ) ~ Semenjak Baginda Rasulullah s.a.w dilahirkan dan diutuskan untuk mengembangkan Islam , Al-Quran dan Hadist selalu menyatakan :

Ertinya : “ Telah dekatlah saatnya qiamat dan telah terbelahlah bulan “ ~ Surah al-Qamar , ayat 1 .

Ertinya : Saidina Sahl Bin Sa’ad r.a berkata , aku pernah mendengar Baginda Rasulullah s.a.w bersabda sambil Baginda s.a.w memberikan isyarat dengan dua jarinya ( merapatkan jari telunjuk dengan jari tengahnya ) seraya berkata : (( Aku dilahirkan dan saat hampirnya qiamat dengan kelahiranku itu adalah seperti dua batang jariku ini )) ~ Hadist sahih diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rh .

Oleh itu , memang semenjak kelahiran Baginda Rasulullah s.a.w itu sendiri HARI KIAMAT SUDAH SEMAKIN DEKAT DIRASAI , SUDAH SEMAKIN HAMPIR KEPADA KITA . Hampir di sini bukanlah menurut perhitungan kita , tetapi menurut perhitungan Allah Ta’ala yang tidak “ terkesan “ dengan sebarang perubahan hari , bulan , tahun dan waktu .

Oleh itu , hadis-hadis yang menceritakan mengenai peristiwa akhir zaman seperti ini biasanya didatangkan dalam bentuk UMUM dan GLOBAL , bukannya dengan bentuk KHAS dan DETAIL . Oleh itu mana-mana cubaan untuk MENGKHASKANNYA dan MENDETAILKANNYA mestilah dengan fakta-fakta ( dalil-dalil ) yang kukuh , bukannya dengan semata-mata sangkaan , ramalan , bacaan politik dan sebagainya .

Begitulah juga dengan ramalan-ramalan yang mengaitkan tarikh tertentu sebagai tarikh bermulanya tanda-tanda besar qiamat adalah SATU RAMALAN YANG MELAMPAU LAGI MENYELEWENG .

( b ) ~ Hadist yang telah dipastikan ianya BENAR-BENAR SAHIH ( bersumber drp Baginda Rasulullah s.a.w ) adalah MUKTAMAD . Akan tetapi setiap huraian ( syarahan ) bagi setiap hadis yang sahih itu BELUM TENTU LAGI SAHIH ataupun MUKTAMAD . ( Seperti ada orang yang sengaja menyalah-tafsirkan pengertian hadist yang sahih ) .

( c ) ~ Tidaklah benar jika dikaitkan bahawa apa yang berlaku di Iraq sekarang adalah tanda besar qiamat dan “ emas “ yang bakal muncul itu adalah “ petrol “ yang digilai oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya sekarang kerana :

- “ Emas “ menurut zahir hadist itu adalah “ emas “ sebagai mana yang kita kenali . Untuk mengubah makna asal “ emas “ ini kepada “ emas hitam “ ( minyak petrol ) sebagai mana sangkaan orang perlukan dalil dan fakta yang kukuh . Di manakah fakta dan dalil yang kukuh yang menyatakan bahawa “ emas “ yang dimaksudkan di dalam hadist di atas ialah minyak petrol ? .

- “ Emas “ di dalam hadist di atas berbentuk bukit ( disebabkan banyaknya ) dan di dalam hadis lain dinyatakan “ seperti sebuah “ khazanah “ sebagai merujuk kepada masa sebelum emas itu ditemui ( kerana ianya tersimpan di dalam Sg. Furat @ Euphrates ) .

- Minyak petrol tidak mungkin ditemui jika air Sungai Furat menjadi cetek @ tohor , kerana realiti membuktikan bahawa petrol ditemui hanya dengan cara mengorek sampai ke perut bumi , sedangkan dataran ( permukaan ) sungai masihlah belum boleh dipanggil “ perut bumi ) .

Jelasnya menurut hadist ini, perang nanti akan berlaku lagi di Sungai Furat ( Iraq ) dan apabila emas sebenar telah keluar daripada sungai yang terkenal itu, di saat itulah baru berlaku tanda-tanda besar qiamat sebagai mana di dalam hadist di atas, bukannya sekarang ( apatah lagi dengan kekalahan tentera Saddam Hussein ) .

“ Di Sungai Furat Di Negara Irak
Emaskan Muncul Laksana Puncak
Ramai Sekali Tentera Yang Hendak
Datang Berperang Kerana Tamak “

“ Perang Berkobar Bertahun-Tahun
Kerana Merebut Harta Si Qarun
Hadir Ke Sana Bagaikan Lanun
Untuk Merompak Harta Bertimbun “ .

Sekian . Semoga ada manfaatnya bersama .
Wallahu A'alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad



1 – FATHUL BARY : SYARAH SAHIH al-IMAM al-BUKHARI RH
Oleh : Syeikhul Islam , al-Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqolani rh
Jilid : 14 , Halaman : 586 sampai seterusnya .
Terbitan : Darul Fikr , Beirut ( 1995 )

2 - FATHUL MUN’IEM SYARAH SAHIH al-IMAM MUSLIM RH
Oleh : Al-Imam an-Nawawi rh & Al-‘Allamah Prof. Dr. Musa Shahin Lashin ha
Jilid : 10 , Halaman : 495 sampai seterusnya .
Terbitan : Darul Shurook , Kaherah ( 2002 )

3 – AHADIST MU’UJIZAT ar-RASUL ALLATI ZOHARAT FI ZAMANINA
Oleh : Dr. Abd Muhdi Bin Abd Qadir Bin Abd Hadi ( Pensyarah Hadist Universiti al-Azhar )
Bahagian Pertama , Halaman : 57 - 58
Terbitan : Maktabah al-Iman , Agouza , Kaherah

4 – HARMAGADON ( ARMAGEDDON )
Oleh : Syeikh Amin Muhammad Jamaluddin
Halaman : 95
Terbitan : Al-Maktabah at-Taufiqiah , Saidina Hussein , Kaherah

5 – EMPAT PULUH HADIS TENTANG PERISTIWA AKHIR ZAMAN ( EDISI BARU )
Oleh : Al-Fadhil Ustaz Abu Ali al-Banjari an-Nadwi ha
Halaman : 69 – 70
Terbitan : Khazanah Banjariyah , Pokok Sena , Kedah D. Aman .

6 - Kemusnahan Alam & Perang Armageddon
http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=73091

7- Hadis Sungai Furat , Iraq & Penjajahan Amerika
http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=95120

0 comments:

Post a Comment